Kanak-kanak perempuan 12 tahun cedera diragut

PUTRAJAYA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun mengalami kecederaan di dagu dalam kejadian ragut di kediamannya di sebuah apartmen di Presint 11 di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pada jam 9.46 pagi, mangsa yang berada di rumah bersama ahli keluarganya telah didatangi seorang lelaki yang mengetuk pintu rumah dan bertanya sama ada terdapat bekalan air atau tidak.
"Suspek kemudian berpura-pura meminta mangsa menyambungkan paip getah ke bilik air dan mengisi air ke dalam tong berwarna putih.
"Sebaik sahaja mangsa menyerahkan tong air tersebut, suspek tiba-tiba menarik rambutnya dan meragut rantai emas di leher sebelum melarikan diri. Kerugian dianggarkan berjumlah RM5,530," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Aidi Sham berkata, kejadian itu turut disaksikan bapa mangsa yang bekerja sebagai pegawai penyelidik melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumah mereka.
“Rakaman CCTV mendapati suspek memakai jaket berwarna hijau, berseluar hitam, bertopi hitam serta memakai penutup mulut.
"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian dagu dan telah mendapatkan rawatan di hospital," ujarnya.
Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
