PKNS himpun lebih 100 usahawan muda di KUP 2025

Mohd Najwan (tengah) diiringi Suhaimi (dua dari kanan) merasmikan KUP 2025.
Mohd Najwan (tengah) diiringi Suhaimi (dua dari kanan) merasmikan KUP 2025.
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 100 usahawan muda menyertai Karnival Usahawan PKNS (KUP) 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Julai di Kompleks PKNS, Shah Alam.

Program anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu menjadi platform pendedahan praktikal kepada dunia perniagaan sebenar bagi peserta pelbagai program keusahawanan kendalian agensi berkenaan.

Sebanyak 120 reruai jualan dan pameran dibuka sepanjang karnival, melibatkan penyertaan usahawan daripada empat program utama iaitu Program Tunas Niaga (PROTUNe), Program Usahawan Siswazah (Grow), Program Usahawan Siswazah Lanjutan (Grow Plus) dan Program Eksklusif BizClub.

Majlis perasmian disempurnakan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat) PKNS, Suhaimi Kasdon.

Menurut Suhaimi, penganjuran KUP 2025 yang memasuki tahun ketiga itu adalah sebahagian daripada lebih 40 program keusahawanan anjuran PKNS bagi memperkasa belia dalam bidang perniagaan.

“Inisiatif ini bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan keusahawanan, malah membina keyakinan diri melalui pengalaman berinteraksi secara langsung dengan pelanggan.

"Ilmu perniagaan tidak boleh diperoleh hanya melalui buku atau syarahan, sebaliknya ia menuntut latihan praktikal dan pengalaman sebenar,” katanya.

Mohd Najwan (tengah) ketika melawat reurai di KUP 2025 di Kompleks PKNS Shah Alam.
Mohd Najwan (tengah) ketika melawat reurai di KUP 2025 di Kompleks PKNS Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, karnival ini turut memberi ruang kepada usahawan muda mempelajari cara berkomunikasi dengan pelanggan serta memantapkan teknik pemasaran dan jualan produk.

Antara aktiviti menarik sepanjang karnival termasuk demonstrasi usahawan, pertandingan, promosi jualan ‘happy hour’, aktiviti pentas serta pameran jualan hartanah oleh PKNS Homes.

Suhaimi berkata, program seperti ini menjadi medan latihan praktikal kepada peserta dan pada masa sama menarik pengunjung yang ingin mendapatkan produk tempatan berkualiti serta mengenali lebih dekat para usahawan muda.

“Penganjuran KUP 2025 mencerminkan komitmen berterusan PKNS dalam melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing melalui pendekatan strategik dan inklusif,” katanya.

Beliau turut berharap para peserta memanfaatkan sepenuhnya karnival tiga hari itu untuk menimba pengalaman, membina rangkaian dan mendapatkan input berguna bagi mengukuhkan perniagaan masing-masing.

Transaksi jualan KUP 2025 dijangka cecah RM200,000

KUP 2025 dijangka mencatat jumlah transaksi jualan mencecah RM200,000 sepanjang penganjurannya selama tiga hari bermula Jumaat lepas.

Mohd Najwan berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, transaksi jualan yang direkodkan pada hari pertama sahaja hampir mencecah RM62,000.

“Kalau kita ikutkan unjuran berdasarkan hari semalam (Jumaat), insya-ALLAH, untuk keseluruhan program ini kita boleh jangkakan jumlah transaksi jualan sekitar RM200,000,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan KUP 2025 di sini pada Sabtu.

Mohd Najwan (duduk tengah) dan Suhaimi (dua dari kiri) bersama jawatankuasa penganjur dan peserta.
Mohd Najwan (duduk tengah) dan Suhaimi (dua dari kiri) bersama jawatankuasa penganjur dan peserta.

Menurut beliau, sebanyak 120 reruai usahawan dibuka sempena karnival itu yang melibatkan penyertaan daripada empat teras utama program keusahawanan PKNS iaitu Protune, Grow, Grow Plus dan BizClub.

“Usahawan-usahawan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, bermula dari pelajar sekolah, siswazah, hinggalah kepada alumni usahawan yang telah lama bergiat aktif dan kini berada dalam komuniti BizClub,” jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak PKNS kerana terus menyediakan platform kepada usahawan untuk memperkenalkan dan memasarkan produk mereka secara langsung kepada masyarakat.

“Daripada segi pencapaian, kita lihat hasil jualan ini sebagai satu indikator bahawa usahawan bimbingan PKNS mampu bersaing dan menonjolkan potensi mereka, malah ada yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa,” katanya lagi.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!