Titah Adendum: Afidavit saya adalah benar, bukan 'hear say' – Wan Rosdy

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersyukur apabila Jabatan Peguam Negara (AGC) mengakui kewujudan Titah Adendum berkaitan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pengakuan tersebut membuktikan bahawa afidavit yang dikemukakannya kepada mahkamah sebelum ini adalah benar.

"Ini sekali lagi mengesahkan afidavit yang saya kemukakan kepada pihak mahkamah bahawa saya mengetahui kewujudan titah ini adalah benar dan bukan bersifat ‘hear say’.

“Memandangkan pihak Peguam Negara secara langsung atau tidak langsung mengakui keabsahan Titah Adendum ini, adalah wajar prosiding ini dihentikan dan titah tersebut dilaksanakan," katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada malam Jumaat.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang menegaskan bahawa AGC, mahkamah dan semua pihak yang terlibat khususnya kerajaan perlu menjunjung prinsip pengasingan kuasa.

Katanya, ini termasuk menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya secara peribadi dan juga mewakili rakyat Negeri Pahang berdoa agar Datuk Sri Najib mendapat keadilan seperti yang terkandung dalam Titah Adendum tersebut.

“Kepada ALLAH kami berserah,” katanya.

Pada Rabu, AGC memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa mereka tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang didakwa membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, AGC hanya mempersoalkan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

“Kami berpendirian titah itu wujud, namun prosedur untuk mengemukakannya melalui bukti tambahan perlu dipatuhi. Maka kami bersandarkan kepada hujahan bertulis yang telah difailkan sebelum ini dan menyerahkan kepada mahkamah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu sedang menjalani hukuman penjara sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan telah memfailkan petisyen untuk mendapatkan Pengampunan Diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!