AKSB sedia 14 pasukan tangani gangguan bekalan air sepanjang Aidilfitri

AKSB mempunyai pelan kesiapsiagaan bekalan air merangkumi kesemua jajahan operasi yang mula digerakkan pada 27 Mac hingga 5 April depan. - Foto hiasan
AKSB mempunyai pelan kesiapsiagaan bekalan air merangkumi kesemua jajahan operasi yang mula digerakkan pada 27 Mac hingga 5 April depan. - Foto hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyediakan 14 pasukan untuk melaksanakan kerja-kerja membaiki paip pecah atau bocor, sekali gus menangani masalah gangguan bekalan air sepanjang sambutan Aidilfitri kali ini.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, selain itu 12 pasukan kontraktor serta satu pasukan utama diketuai Pengurus Jajahan yang dibantu pegawai lain akan turut digerakkan dalam melaksanakan tugasan kecemasan itu.

"Jika ada sebarang masalah pengguna boleh menghubungi 15777 yang merupakan Operasi Talian Aduan (Pintas) untuk membuat laporan.

"Pintas akan beroperasi pada 28 Mac sehingga 5 April itu bermula seawal jam 8 pagi hingga 12 tengah malam. Untuk hari raya pertama dan kedua pula bermula jam 10.30 pagi hingga 12 tengah malam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, AKSB mempunyai pelan kesiapsiagaan bekalan air merangkumi kesemua jajahan operasi yang mula digerakkan pada 27 Mac hingga 5 April depan.

Katanya, sepanjang tempoh itu AKSB menyediakan 39 lori sebagai persediaan membekalkan air kepada pengguna bagi menghadapi musim perayaan Aidilfitri.

Izani berkata, daripada jumlah itu 12 lori tangki air milik AKSB dan selebihnya Lori Air Kontrak (LAK) akan menghantar bekalan air bersih ke 369 tangki statik kepada penduduk di kawasan yang terjejas atau terputus.

Tambah beliau, operasi itu bermula jam 9 pagi hingga 6 petang dan AKSB menjangkakan kemuncak permintaan tinggi terhadap bekalan air itu akan berlaku dalam tempoh sembilan hari bermula pada Jumaat.

"Sebanyak 43 Loji Rawatan Air (LRA) beroperasi di seluruh jajahan, bagi membekalkan air bersih kepada 271,815 akaun pengguna di seluruh Negeri Kelantan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, AKSB menjangkakan permintaan terhadap bekalan air akan meningkat kepada 622 juta liter sehari (JLH) berbanding 535 JLH pada hari biasa, sepanjang Aidilfitri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!