Kegiatan pelacuran di sebalik pusat hiburan, hotel bajet terbongkar

KUALA LUMPUR – Kegiatan pelacuran yang berselindung sebalik pusat hiburan dan hotel murah terbongkar selepas serbuan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kuchai Lama, Sri Petaling dan Cheras pada Rabu.
Serbuan menerusi Ops Gegar itu menahan seramai 89 warga asing serta empat warga tempatan.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dijalankan hasil risikan oleh sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya melibatkan tiga serbuan berasingan.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama sekitar jam 3 petang, dua premis diserbu selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran yang menggunakan khidmat wanita warga asing.
"Seramai 26 wanita asing ditahan melibatkan enam warga Thailand, lapan warga Indonesia, 11 warga Vietnam dan seorang warga Myanmar yang dipercayai menawarkan perkhidmatan seks.
"Dua lelaki warga Bangladesh dan Pakistan turut diberkas kerana disyaki bekerja di premis, manakala empat lelaki tempatan ditahan kerana disyaki bertindak sebagai penjaga premis," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, sindiket menggunakan hotel bajet sebagai lokasi kegiatan dan menawarkan khidmat seks dengan bayaran antara RM160 hingga RM480.
"Modus operandi mereka ialah mempromosikan perkhidmatan melalui laman sesawang.
"Pelanggan kemudiannya membuat tempahan menerusi aplikasi talian sebelum diminta ke lokasi yang ditetapkan," katanya.
Menurutnya, serbuan kedua dilakukan pada jam 10.55 malam di sebuah pusat hiburan yang menawarkan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing.
"Sebanyak 96 individu diperiksa dan 61 warga asing ditahan antaranya 44 wanita warga Thailand, dua wanita Vietnam, empat wanita Laos serta dua wanita Myanmar yang dipercayai bekerja sebagai GRO.
"Turut ditahan lima lelaki warga Bangladesh dan empat lelaki warga Thailand yang dipercayai bekerja di pusat hiburan tersebut," katanya.
Zakaria berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.
"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966.
"Tujuh warga tempatan turut dikeluarkan notis hadir untuk membantu siasatan," katanya.
Tambahnya, tindakan tegas akan diteruskan terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar undang-undang.
"JIM komited mengambil tindakan di bawah Akta Imigresen, Akta Pasport serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) tanpa kompromi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

