Bapa lima anak dijel sehari, denda RM6,000 belasah isteri hingga patah

Tertuduh (tengah) dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat.
Tertuduh (tengah) dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Padah membelasah isteri hingga cedera anggota badan, seorang kontraktor dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, See Yong Fei, 36, menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes itu.

Berdasarkan pertuduhan dia didakwa dengan sengaja menyebabkan isterinya yang berusia 39 tahun cedera parah dengan cara memukul dan menumbuk tangan serta menendang belakang badan sehingga patah di beberapa bahagian anggota badan.

Kesalahan it tu dilakukan di sebuah kediaman di Taman Desa Bertam di sini kira-kira jam 11.28 malam pada 7 Mei 2024.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak memukul isterinya kerana berang wanita yang dikahwini selama enam tahun keluar rumah untuk ke pasar tanpa meminta izin selain tidak suka mangsa bergaul dengan orang lain.

Tertuduh bagaimanapun berang setelah mengetahui wanita itu keluar rumah lalu bertindak memukul dan menendangnya hingga mengalami kecederaan parah pada bahagian muka serta badan.

Malah wanita kepada lima orang anak itu turut dikurung namun berjaya menyelamatkan diri dengan menghubungi rakan ketika suaminya keluar bekerja sebelum pengadu di bawa ke balai polis untuk membuat laporan polis.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon hukuman setimpal diberikan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa.

Artikel Berkaitan:

Manakala Peguam Kelvinder Singh Sidhu yang mewakli tertuduh memohon memohon anak guamnya dikenakan hukuman penjara dan denda minimum kerana tertuduh hanya memperolehi pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan selain mempunyai anak yang masih kecil.

Hujahnya lagi, ini juga merupakan kesalahan pertama tertuduh yang turut menjaga bapa yang uzur selain mangsa kini tidak tinggal bersama selepas kejadian.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari bermula tarikh sabitan dan denda RM6,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar.

Pada prosiding itu Peguam Kent Tan Chow Teng hadir selaku peguam pemerhati bagi pihak mangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!