Hobi Oyen kutip selipar jiran bawa balik rumah

Noraini bersama kucing kesayangannya Oyen dan gelagatnya bersama selipar milik jiran yang dibawa balik ke rumah.
Noraini bersama kucing kesayangannya Oyen dan gelagatnya bersama selipar milik jiran yang dibawa balik ke rumah.
A
A
A

SHAH ALAM – Seekor kucing jantan peliharaan milik Noraini Darus, 55, dari Seksyen 29 di sini, mencetuskan perhatian warga maya selepas gelagatnya yang gemar ‘mencuri’ selipar jiran tular di media sosial.

Noraini berkata, kucing kacukan baka Parsi dan kampung itu yang dinamakan Oyen mula dipeliharanya sejak lima tahun lalu.

“Dulu kami tinggal di kondominium di Kota Damansara, jadi Oyen memang hanya duduk dalam rumah. Tapi sejak berpindah ke rumah teres di sini, Oyen mula rasa ‘bebas’ dan perangainya pun makin menjadi-jadi,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Noraini, pada mulanya Oyen hanya membawa balik daun kering, kotak rokok dan cicak, namun sejak dua bulan kebelakangan ini, kucing itu mula membawa pulang selipar jiran tetangga.

“Pernah satu hari, saya perasan banyak selipar longgok di depan pagar rumah. Masa tu belum tahu dari mana datangnya. Tapi bila jiran-jiran mula bertanya dan pasang CCTV, barulah kami sedar Oyen yang ambil,” katanya.

Noraini berkata, pada awalnya beliau malu dan tidak tahu bagaimana mahu memulangkan selipar yang dikutip Oyen, sehinggalah suaminya secara berseloroh memberitahu jiran bahawa jika kehilangan selipar, boleh ambil di depan rumah mereka.

Noraini menambah, tingkah laku Oyen yang dianggap ‘nakal manja’ itu menjadi bahan jenaka dalam kalangan jiran dan mengeratkan hubungan kejiranan di kawasan tersebut.

“Jiran-jiran semua muda, umur bawah 40. Saya paling tua. Tapi mereka baik-baik dan tak pernah marah. Malah, ada yang tunggu kandungan baharu daripada Oyen di TikTok,” katanya.

Tambahnya, Oyen juga sangat berdisiplin dan akan pulang ke rumah setiap malam untuk makan.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu dia tak pernah tak balik. Kalau lambat pun, anak-anak saya akan cari,” katanya yang sudah bersara.

Noraini turut berkongsi, beliau pernah menggunakan tag penjejak untuk menjejak pergerakan Oyen.

“Lepas pakai tag tu, senanglah, kita tahu dia berada di mana kalau lama sangat tak balik. Tapi sekarang tak guna dah, sebab dia bijak balik sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, sejak video Oyen tular di TikTok, ramai yang mengusik agar dia melatih kucingnya untuk kutip duit pula.

“Bagi saya, cukuplah setakat perangai pelik kutip selipar, janganlah sampai ambil barangan berharga milik orang lain,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!