Pengurus syarikat kitar semula didenda RM30,000 guna invois palsu mohon lesen import

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus syarikat kitar semula didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tiga pertuduhan bersubahat dengan adiknya menggunakan invois palsu untuk memohon Lesen Import Permit pada tiga tahun lalu.

Ch'ng Wilson, 33, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Mengikut semua pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa bersubahat dengan adiknya yang berusia 26 tahun, dengan menggunakan tiga invois palsu sebagai dokumen sokongan bagi permohonan lesen itu melalui sistem Dagang Net.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Putrajaya pada 7 Februari 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 dan 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah membantu sebuah syarikat kitar semula yang lain milik rakannya untuk memohon keputusan permit import (AP), menggunakan invois palsu.

Sedangkan syarikat yang diuruskan tertuduh hanya mempunyai kelulusan untuk membawa sisa plastik dari Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong dan United Kingdom.

Tertuduh bersubahat dengan mengarahkan adiknya untuk memohon tiga AP menggunakan tiga invois palsu bagi membawa masuk empat kontena menggunakan pemilik dagangan didaftar atas nama seorang lagi adik tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, lelaki yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman denda yang rendah kerana perlu menyara anak yang masih kecil.

"Ini merupakan kesalahan pertama dan berharap mahkamah memberi saya peluang untuk berubah," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Hazel Tan Jia Qi mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran agar tidak melakukan kesalahan sama.

"Sekiranya mahkamah mengenakan hukuman denda, saya mohon denda berjumlah RM30,000 bagi semua pertuduhan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!