Covid-19: Belum ada tindakan terhadap pesakit ingkar

Noor Azmi (tengah) menunjukkan cara bersalam tanpa bersentuhan sebagai satu cara mencegah penularan Covid-19.
Noor Azmi (tengah) menunjukkan cara bersalam tanpa bersentuhan sebagai satu cara mencegah penularan Covid-19.
A
A
A

BAGAN SERAI - Kementerian Kesihatan belum bercadang untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap individu yang ingkar arahan kuarantin atau menjalani pemeriksaan kesihatan akibat wabak koronavirus (Covid-19).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, keadaan dalam negara ketika ini masih lagi terkawal dan tidak memerlukan tindakan sedemikian dikenakan.

"Di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), memang tindakan boleh dikenakan bagi kes-kes seperti pesakit lari yang berlaku baru-baru ini tetapi sekarang, kita tidaklah sampai ke tahap itu lagi kerana masih banyak perkara perlu diperincikan sebelum satu-satu tindakan dan hukuman dikenakan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan telah berada pada tahap kesediaan yang tinggi menghadapi penularan wabak Covid-19 yang memasuki gelombang kedua ini.

"Kita tidak tahu apa akan jadi tetapi kita memang bersedia berdepan situasi ini dari segi hospital, saringan, pemeriksaan dan rawatan," katanya.

Khamis lalu, seorang lelaki berusia 54 tahun yang didapati mempunyai simptom penyakit Covid-19 menghilangkan diri selepas diarahkan untuk ditahan ketika menjalani pemeriksaan di Klinik Kesihatan Bukit Naga, Seksyen 32, Shah Alam.

Bagaimanapun, lelaki yang turut terbabit dalam himpunan tabligh di Sri Petaling pada 27 Februari lalu itu dapat dikesan sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, satu laporan polis turut dilaporkan oleh Hospital Shah Alam, di mana satu keluarga yang baru pulang dari Korea Selatan, turut menghilangkan diri semasa pemeriksaan dilakukan hujung bulan lalu.

Mengulas mengenai perkongsian orang ramai di media sosial mengenai cadangan menghasilkan sendiri cecair pembasmi kuman, Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, perkara itu bukan satu kesalahan.

Katanya, tindakan menghasilkan cecair pembasmi kuman menggunakan Dettol dan air suling itu tetap boleh digunakan sebagai ejen pembersih.

"Tak salah sebenarnya, Dettol pun salah satu daripada cecair pembasmi kuman dan boleh dibahagikan, cumanya jadi cairlah ( kelikatan cecair pembasmi kuman) tak pekat seperti yang sedia ada disebabkan nisbahnya sukatannya sudah berubah.

"Apa pun perkara penting yang kita kena utamakan adalah kebersihan diri dan rajin basuh tangan," katanya.

Perkongsian itu tular berikutan permintaan tinggi sehingga menyebabkan cecair itu kehabisan stok di kebanyakan farmasi dan pasar raya.

ARTIKEL BERKAITAN Pesakit suspek Covid-19 'larikan diri' takut ditahan