DBKL tutup lapan gerai kotor di Setapak

Operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan orang awam yang diterima melalui platform AduKL berhubung tahap kebersihan serta pematuhan undang-undang kesihatan di pusat penjaja terbabit. Foto DBKL
Operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan orang awam yang diterima melalui platform AduKL berhubung tahap kebersihan serta pematuhan undang-undang kesihatan di pusat penjaja terbabit. Foto DBKL
A
A
A

 

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan unit gerai di Pusat Penjaja Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, Setapak Jaya telah diarahkan tutup selepas didapati melanggar peraturan kebersihan dan kesihatan dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan orang awam yang diterima melalui platform AduKL berhubung tahap kebersihan serta pematuhan undang-undang kesihatan di pusat penjaja terbabit.

DBKL dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, hasil pemeriksaan terhadap 22 unit gerai mendapati terdapat beberapa pelanggaran ketara.

“Ini termasuk pengendali yang tidak mempunyai suntikan tifoid, aktiviti mencuci dilakukan di atas lantai, persekitaran premis yang kotor, serta stor penyimpanan barangan yang berselerak dan menyimpan barangan terpakai.

“Daripada jumlah itu, lapan gerai telah diarahkan tutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983. Selain itu, dua kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan di bawah UUKPPM 21(1)(m) dan UUKPM 17(1)(b),” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, satu notis selama 14 hari turut dikeluarkan kepada pengendali yang terlibat untuk membaiki segala kemungkiran berdasarkan syarat perjanjian kedai yang ditetapkan.

DBKL menegaskan, pihaknya akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengendali yang gagal mematuhi peraturan demi memastikan aspek kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa terjaga.

“Warga kota disaran untuk sentiasa mengutamakan kebersihan dalam kehidupan harian, sama ada sebagai peniaga mahupun pengguna demi kesejahteraan dan kesihatan bersama,” tambah kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!