Tiga cedera, kereta rempuh gerai air kelapa

KUALA KANGSAR – Tiga individu termasuk pasangan warga emas cedera selepas sebuah kereta merempuh gerai menjual air kelapa dalam satu kemalangan di hadapan Kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, dekat Jerlun di sini pada Sabtu.
Kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 11.35 pagi itu dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki pasangan berusia 73 dan 68 tahun hilang kawalan.
Maklumat awal memaklumkan, kereta berkenaan kemudian melanggar sebuah kereta Honda City yang diparkir di tepi jalan sebelum merempuh gerai jualan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, tiada mangsa tersepit dalam kejadian itu dan kesemua mereka berjaya dikeluarkan oleh orang awam.
“Pasangan warga emas tersebut mengalami kecederaan akibat kejadian itu.
“Pengusaha gerai, seorang wanita berusia 49 tahun yang juga pemilik kereta Honda City turut cedera akibat rempuhan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, operasi menyelamat dijalankan menggunakan konsep SAVER bagi memastikan tiada lagi mangsa yang terperangkap atau mengalami kecederaan.
Jelasnya, semua mangsa telah diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke hospital berhampiran menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
“Pasukan bomba turut melakukan pemantauan dan pemeriksaan menyeluruh di sekitar lokasi kemalangan.
“Operasi yang disertai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar itu tamat pada jam 11.55 pagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!