Dasar pembangunan ekonomi sempadan perlu disegerakan

Situasi jenayah rentas sempadan dan penyeludupan yang masih berleluasa di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand.
Situasi jenayah rentas sempadan dan penyeludupan yang masih berleluasa di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand.
A
A
A

SITUASI jenayah rentas sempadan dan penyeludupan yang masih berleluasa di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand di sebalik beberapa kejayaan agensi penguatkuasaan bukan sekadar melibatkan pelanggaran undang-undang, tetapi merupakan ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara, memberi kesan negatif terhadap ekonomi setempat serta menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Malah pintu sempadan negara adalah simbol maruah sesebuah negara yang wajib dipelihara dan dipantau secara berterusan.

Menyedari hakikat ini, saya menggesa Kerajaan Persekutuan agar mempercepatkan penyusunan dan pelaksanaan satu Dasar Ekonomi Sempadan Nasional yang menyeluruh, pragmatik dan bersifat jangka panjang.

Dasar ini tidak boleh hanya bersifat penguatkuasaan semata-mata, tetapi perlu menangani akar umbi permasalahan sebenar yang mendorong kepada berlakunya aktiviti penyeludupan, iaitu ketidakseimbangan ekonomi, kekurangan peluang pekerjaan dan keterbatasan aktiviti ekonomi sah di kawasan sempadan.

Selama ini, pendekatan yang kita guna yang terlalu menumpukan kepada sekatan dan kawalan fizikal semata-mata tidak mencukupi.

Kita memerlukan satu dasar pembangunan ekonomi sempadan yang mampu memberi alternatif sah dan berdaya saing kepada penduduk tempatan, agar mereka tidak terlibat dengan aktiviti haram seperti penyeludupan.

Bagi saya, dengan mewujudkan peluang ekonomi yang sah akan menjadi satu bentuk pencegahan yang jauh lebih berkesan dan lestari.

Sehubungan itu, saya ingin mencadangkan agar Akta Kastam 1967 dan Akta Zon Bebas 1990 dipinda, dengan menambah satu seksyen khas berkaitan “Perdagangan Mikro Sempadan” dengan mengiktiraf dan membolehkan urus niaga kecil dan sederhana antara komuniti sempadan kedua-dua negara dilakukan secara sah, terkawal dan telus.

Kita boleh mempertimbangkan mekanisme pengecualian cukai bersyarat atau pelepasan khas, selagi mana pematuhan terhadap peraturan dan kawal selia dipatuhi.

Artikel Berkaitan:

Pendekatan ini bukan sahaja akan membantu mengembangkan ekonomi setempat, tetapi juga mampu merapatkan jurang pembangunan antara wilayah sempadan dan kawasan bandar.

Tradisi dan budaya perdagangan sempadan bukanlah perkara baharu. Ia telah berlangsung sejak zaman dahulu kala.

Malangnya, selama ini tidak banyak kelebihan atau manfaat yang diterima secara langsung oleh rakyat tempatan. Malah, kelompongan perundangan dalam hal ini menjadi ruang kepada penyeludupan dan urus niaga haram.

Sudah tiba masanya kita memikirkan langkah yang lebih progresif. Jika kita boleh memperkenalkan Pas Sempadan (Border Pass) untuk kemudahan rentas sempadan orang tempatan, kenapa kita tidak perkenalkan Pas Ekonomi Sempadan (Border Trader Pass) bagi urusan ekonomi dan perdagangan kecil rakyat tempatan yang tinggal dalam radius tertentu dari sempadan? Sebagai contoh, 50km dari titik sempadan.

Cadangan ini juga selari dengan semangat pembangunan wilayah yang seimbang dan mendokong prinsip ekonomi inklusif yang ditekankan dalam dasar-dasar negara.

Melalui pendekatan ini, kita akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti ekonomi secara haram serta memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi penguatkuasaan, kerajaan tempatan dan komuniti setempat.

Ini juga akan menjadikan rakyat lebih terlibat dalam agenda keselamatan negara melalui pemerkasaan ekonomi dan sosial.

Saya juga menyambut baik pelantikan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Dengan pengalaman luas beliau dalam pasukan keselamatan negara, saya percaya pelantikan ini mampu membawa satu nafas dan dimensi baharu dalam usaha memperkukuh kawalan sempadan dan merancang strategi keselamatan yang lebih strategik, teknologi tinggi dan bersifat menyeluruh.

Selain daripada aspek dasar dan pelaksanaan, saya juga menyeru agar kebajikan anggota keselamatan yang bertugas di sempadan diberikan perhatian yang sewajarnya.

Mereka berhadapan risiko tinggi saban hari dan pengorbanan mereka harus dihargai dengan sewajarnya, baik dari aspek gaji, perlindungan insurans, perumahan, elaun kawasan dan juga kebajikan keluarga.

Dalam masa yang sama, had tugasan serta beban kerja yang mereka hadapi juga wajar dikaji semula, agar ia lebih realistik dan sejajar dengan cabaran semasa.

Sebagai contohnya, saya sendiri melihat kekurangan yang wujud di 3 kem yang terlibat pengoperasian sempadan di Perlis, iaitu Kem Bukit Cowder Markas 30 Briged Infantri Malaysia (30 Bridged), Kem Rejimen 504 Askar Wataniah serta Pos Sempadan PGA/Tentera di Wang Kelian dan kawasan bersempadan, terutama dari segi kebajikan mereka dan infrastruktur yang menjadi cabaran buat mereka.

Saya juga ingin mencadangkan agar 2 Akta lagi perlu dipinda iaitu Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang perlu dimasukkan jenayah rentas sempadan sebagai kesalahan khusus dan Akta Imigresen 1959/63 untuk memperketat kawalan ke atas kemasukan dan pemerdagangan manusia.

Kami telah mewujudkan Gabungan Ahli Parlimen Sempadan Malaysia-Thailand sejak Oktober 2023 yang bersedia menjadi rakan strategik kepada pihak kerajaan dalam meneliti semula undang-undang berkaitan perdagangan dan keselamatan sempadan.

Kami juga akan membuka ruang untuk berdialog bersama pemain industri kecil, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil serta rakyat setempat, agar sebarang pembaharuan dasar yang ingin dibawa benar-benar bersifat inklusif dan berpijak pada realiti di lapangan.

Kami juga telah menganjurkan beberapa siri perbincangan dengan pihak wakil kerajaan, agensi, IPT dan NGO di Selatan Thai dalam tempoh tersebut.

Saya berharap Malaysia akan muncul sebagai peneraju dalam membangunkan model Dasar Ekonomi Sempadan yang moden, inklusif dan berdaya tahan. Kawasan Padang Besar, dengan lokasinya yang strategik, jaringan sosial yang telah terbina sejak sekian lama, serta potensinya sebagai hab logistik dan perdagangan mikro serantau, wajar dijadikan tapak perintis kepada pelaksanaan dasar ini. Kita tidak boleh berundur lagi.

* Rushdan Rusmi adalah Ahli Parlimen Padang Besar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!