Kalendar Liga-M 2025/26 ambil kira komitmen kelab, negara

Perancangan kalendar Liga-M 2025/26 turut mengambil kira Kalendar FIFA 2025 yang melibatkan skuad Harimau Malaya kendalian Cklamovski. Foto Malaysia NT
Perancangan kalendar Liga-M 2025/26 turut mengambil kira Kalendar FIFA 2025 yang melibatkan skuad Harimau Malaya kendalian Cklamovski. Foto Malaysia NT
A
A
A

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan kalendar penuh Liga Malaysia (Liga-M) bagi musim 2025/26 secara menyeluruh selepas musim lalu dikeluarkan secara berperingkat.

Namun begitu, MFL memaklumkan bahawa jadual berkenaan masih tertakluk kepada pindaan, khususnya selepas sesi undian rasmi Kejuaraan Liga Juara-Juara Asia Elit dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) kendalian Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang akan berlangsung pada 15 Ogos ini.

Undian itu membabitkan penyertaan dua kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC, yang turut akan beraksi dalam Kejuaraan Kelab ASEAN anjuran Konfederasi Bolasepak ASEAN (AFF)), di mana jadual perlawanan baharu sahaja dikeluarkan semalam.

“Faktor tersebut menyukarkan MFL untuk mengumumkan kalendar lebih awal kepada pasukan dan penyokong,” menurut kenyataan badan pengelola liga itu.

Dalam masa sama, perancangan jadual turut mengambil kira Kalendar FIFA 2025 yang melibatkan skuad kebangsaan Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski dan skuad Harimau Muda bimbingan Nafuzi Zain.

Skuad utama negara dijadual menyertai Kelayakan Pusingan Ketiga Piala Asia 2027 di Arab Saudi serta Kejuaraan Persekutuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA), manakala Harimau Muda akan menghadapi Kelayakan Piala Asia Bawah 23 2026.

Selain itu, MFL turut meneliti beberapa aspek utama lain dalam penyusunan kalendar Liga-M 2025/26 termasuk:

Jadual kejohanan utama: Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran, kalendar temasya Sukan SEA 2025 di Thailand, pelaksanaan sistem bantuan pengadil video (VAR), tempoh rehat pasukan dan jadual perjalanan kelab ke kejohanan luar negara, Hari Pelepasan Am Persekutuan dan Negeri (2025–2026) seperti diumumkan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

MFL menegaskan bahawa logistik dan operasi VAR akan diberi keutamaan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar sepanjang musim.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, venue perlawanan yang tidak dibenarkan digunakan sepanjang bulan Ramadan akan ditentukan kemudian berdasarkan penelitian dan kesesuaian lokasi.

Jadual perlawanan terakhir Liga Super 2025/26 pula akan dikemas kini secara dinamik, bergantung kepada keputusan dan kedudukan terkini pasukan menjelang penghujung musim.

“Langkah ini bertujuan memastikan keadilan kompetitif serta memberi fleksibiliti logistik kepada pasukan, demi menjamin kelancaran penutup musim Liga-M,” kata MFL.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!