Kedah dinobatkan ‘Pilihan Malaysia’ di MATTA Fair April 2025

Nigel Wong (dua dari kiri) dan Mohd Salleh (tengah) bergambar dengan plakad Tahun Melawat Kedah 2025 selepas sidang akhbar MATTA Fair April 2025 di MITEC pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Nigel Wong (dua dari kiri) dan Mohd Salleh (tengah) bergambar dengan plakad Tahun Melawat Kedah 2025 selepas sidang akhbar MATTA Fair April 2025 di MITEC pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR – Negeri Kedah diumumkan sebagai ‘Pilihan Malaysia’ bagi Pameran MATTA Fair April 2025 yang bakal berlangsung pada 18 hingga 20 April depan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata, pemilihan Kedah mencerminkan komitmen MATTA dalam mempromosikan pelancongan domestik yang kaya dengan keindahan semula jadi dan warisan budaya.

"Kedah menawarkan pelbagai tarikan menarik termasuk sawah padi menghijau di Kampung Sungai Pau, keindahan puncak Gunung Jerai serta kejernihan perairan Langkawi," katanya ketika sidang akhbar di MITEC pada Rabu.

Nigel Wong (kiri) dan Mohd Salleh ketika sidang akhbar MATTA Fair April 2025 di MITEC pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Nigel Wong (kiri) dan Mohd Salleh ketika sidang akhbar MATTA Fair April 2025 di MITEC pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Menurutnya, MATTA Fair ke-56 bukan sekadar platform jualan pelancongan tetapi juga peluang bagi Kedah mempromosikan keunikan dan daya tarikannya kepada pelancong tempatan serta antarabangsa.

Dengan jangkaan lebih 210,000 pengunjung, pameran kali ini menampilkan pelbagai promosi percutian menarik termasuk pakej balik kampung serta tawaran penginapan pada harga berpatutan.

"Kami ingin memastikan industri pelancongan terus berkembang dengan menonjolkan destinasi berpotensi tinggi seperti Kedah," tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pelancongan, Budaya dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin, menyifatkan pengiktirafan ini sebagai penghormatan besar buat negeri Jelapang Padi itu.

"Ini sejajar dengan kempen ‘Visit Kedah 2025’ yang menyasarkan 170 acara sepanjang tahun, termasuk 45 program utama di pelbagai lokasi," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berkongsi perkembangan positif pelancongan Kedah dengan Langkawi sahaja menerima 300,000 pelawat pada Januari 2025, meningkat berbanding 250,000 pelawat dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Kadar penginapan di hotel-hotel berdaftar di Langkawi juga meningkat daripada 58.1 peratus pada Januari 2024 kepada 68.3 peratus tahun ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, MATTA turut mengumumkan MATTA Connect, sebuah acara perniagaan ke perniagaan (B2B) baharu yang akan berlangsung pada 17 April 2025, sehari sebelum pameran utama.

Acara ini menjadi platform pertemuan pemain industri pelancongan antarabangsa dan tempatan bagi membincangkan peluang baharu serta menjalin kerjasama strategik.

Bagi memastikan pengalaman pengunjung lebih selesa, masuk adalah percuma dengan waktu operasi dari jam 10 pagi hingga 9 malam sepanjang pameran berlangsung.

Selain itu, perkhidmatan bas ulang-alik percuma turut disediakan dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall ke MITEC. Pengunjung yang memandu boleh menggunakan kemudahan parkir di MITEC, MITI Basement dan kawasan parkir terbuka MATRADE.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti laman rasmi MATTA Fair di Facebook, X, TikTok serta Instagram @mattafair.official.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!