Beruang panjat pokok jering belakang rumah masuk perangkap

Seekor beruang matahari betina seberat 40 kg yang memasuki perangkap dipasang Perhilitan di Ladang Pelantoh Selatan, Kijal, Kemaman pada Rabu.
Seekor beruang matahari betina seberat 40 kg yang memasuki perangkap dipasang Perhilitan di Ladang Pelantoh Selatan, Kijal, Kemaman pada Rabu.
A
A
A

KEMAMAN – Kehadiran seekor beruang matahari yang menceroboh kawasan kediaman dengan memanjat pokok jering belakang sebuah rumah di Ladang Pelantoh Selatan, Kijal di sini mencetuskan kebimbangan penduduk.

Bagaimanapun, kegusaran itu berakhir apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap haiwan liar tersebut kurang 12 jam selepas perangkap dipasang.

Seorang penduduk, Md Fauzi Abdullah, 42, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam pada Isnin lalu apabila dia terdengar bunyi bising berhampiran pokok jering di belakang rumahnya.

"Lepas dengar bunyi bising tu saya terus capai lampu suluh dan menyuluh ke atas pokok. Saya terkejut sebab nampak beruang besar sedang memanjat pokok.

"Saya tak berani nak buat apa-apa bimbang ia bertindak agresif, cuma pastikan anak-anak masuk rumah dan pintu dikunci," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini pada Rabu.

Beruang matahari betina berjaya masuk dalam perangkap yang dipasang Perhilitan pada Rabu.
Beruang matahari betina berjaya masuk dalam perangkap yang dipasang Perhilitan pada Rabu.

Md Fauzi berkata, dia telah menghubungi pihak Perhilitan pada pagi hari sama dan kakitangan jabatan itu tiba untuk memasang perangkap sekitar jam 4 petang.

"Kira-kira jam 1 pagi tadi (Selasa), saya terdengar bunyi kuat dari arah perangkap. Bila diperiksa, beruang itu memang sudah terperangkap. Syukur sangat kerana kami sekeluarga tidak dapat tidur lena sejak ia muncul si kawasan rumah ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kejadian tersebut kali pertama berlaku sejak lebih 20 tahun menetap di kawasan itu.

Jelasnya, ia turut menimbulkan keresahan dalam kalangan kira-kira 200 penduduk dan pekerja ladang berhampiran.

"Kami harap pihak berkuasa dapat pantau kawasan ini lebih kerap kerana kawasan ladang ini berhampiran hutan,"katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, beruang matahari betina seberat kira-kira 40 kilogram itu dipercayai keluar dari kawasan hutan simpan berhampiran untuk mencari makanan.

"Beruang ini masih dalam usia juvenil dan berjaya ditangkap tanpa sebarang kecederaan. Ia telah dilepaskan semula ke habitat asalnya oleh enam anggota Perhilitan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!