2,300 kematian akibat gelombang haba Eropah

BRUSSELS - Sekurang-kurangnya 2,300 kematian akibat strok haba direkodkan di seluruh 12 bandar Eropah ketika rantau itu dicengkam gelombang panas melampau pada bulan lalu.
Analisis saintifik diterbitkan pada Rabu itu mengumpulkan data selama 10 hari berakhir pada 2 Julai lalu semasa sebahagian besar Eropah Barat dilanda cuaca ekstrem dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius.
"Kira-kira 1,500 kematian dikaitkan dengan fenomena perubahan iklim yang menjadikan gelombang haba lebih teruk," menurut penyelidikan dilakukan saintis di Imperial College London dan London School of Hygiene and Tropical Medicine.
Kajian itu meliputi 12 bandar termasuk Barcelona, Madrid, London dan Milan di mana penyelidik mendakwa perubahan iklim telah menyebabkan peningkatan suhu gelombang haba kepada empat darjah Celsius.
Selain itu, Perkhidmatan Perubahan Iklim Kesatuan Eropah (Copernicus) menerusi buletin bulanan mereka memaklumkan Jun 2025 sebagai bulan ketiga paling panas dalam rekod di Eropah Barat selepas catatan sama pada 2023 dan 2024. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

