Kes bunuh kerana hutang: Kesan kecederaan mangsa akibat kemalangan, penderaan berterusan - Polis

AMPANG - Kecederaan pada badan lelaki yang mati di Taman Pandan Perdana pada 22 Jun lalu adalah akibat kemalangan dan penderaan berterusan disyaki dilakukan oleh dua suspek.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kes tidak melibatkan unsur along.
"Siasatan lanjut mendapati kesan kecederaan pada tubuh mangsa adalah berpunca daripada kesan kemalangan dan penderaan berterusan dari kedua-dua suspek," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Azam berkata, mangsa yang juga pemandu e-hailing berusia 37 tahun telah berhutang dengan salah seorang suspek sebanyak RM120,000.
"Punca kematian mangsa adalah kerana jangkitan kuman pada otot disebabkan kecederaan pada kulit dan tulang," katanya.
Pada Rabu, Mohd Azam dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan sekitar 7.16 malam pada hari kejadian.
Menurutnya, mangsa yang tinggal di dalam kereta diparkir di hadapan rumah suspek ditemui mati.
Pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur yang dipanggil ke lokasi memaklumkan kematian seorang lelaki tempatan.
Pada peringkat awal kes disiasat sebagai 'sudden death report' (SDR) sebelum bedah siasat yang dijalankan mendapati wujud unsur jenayah.
Susulan itu, dua suspek berusia 36 dan 73 tahun yang juga bapa dan anak ditahan bagi bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
