[VIDEO] KPT pandang serius isu pelajar dibebani hutang skim BNPL

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius penglibatan pelajar dalam skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) sehingga mengakibatkan mereka dibebani hutang yang tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, usaha untuk menangani isu ini perlu dilakukan secara berterusan khususnya dalam memberi peringatan kepada golongan terbabit.
“Saya ingin mengingatkan mahasiswa kita supaya tidak terjebak dengan skim pinjaman yang boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan dan terperangkap dalam beban hutang yang mungkin mereka sendiri tidak sedar dengan kadar faedah tinggi dikenakan.
“Ada pihak menghubungi saya dan memaklumkan tentang isu ini dan pihak kementerian juga telah mengambil langkah memberi peringatan kepada mahasiswa supaya tidak terjerat dengan skim sebegini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan, industri BNPL mencatat lonjakan ketara dengan lebih 5.1 juta akaun aktif pada akhir 2024 manakala jumlah transaksi meningkat kepada 149 juta dengan nilai keseluruhan RM12 bilion.
Bagaimanapun, peningkatan ini turut menyumbang kepada kenaikan kes hutang tertunggak serta caj tersembunyi yang membebankan pengguna.
Sementara itu, ditanya kemungkinan terdapat mahasiswa di negara ini disenarai hitam kerana terjebak dengan skim berkenaan, Zambry berkata, pihaknya belum menerima maklumat berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, beliau telah mengarahkan KPT supaya mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.
“Kita akan membuat semakan mendalam dan saya sekali lagi ingatkan kepada pelajar supaya tidak terperangkap dalam skim sebegini kerana akhirnya mereka yang akan susah apabila dibebani hutang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

