Pulau Carey bakal jadi hab teknologi pendidikan, sekuriti makanan antarabangsa

Amirudin Shari - Foto Facebook MB
Amirudin Shari - Foto Facebook MB
A
A
A

 

SHAH ALAM - Pulau Carey akan dibangunkan sebagai Hab Teknologi-Pendidikan dan Sekuriti Makanan bertaraf antarabangsa, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Selangor ke arah membina ekonomi pintar yang mampan dan inklusif.

Usaha strategik itu dimeterai menerusi Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), SD Guthrie Berhad, IJM Corporation Berhad dan Yayasan Selangor selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembangunan itu akan mengukuhkan peranan PNSB serta menyokong Yayasan Selangor dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan mampu milik kepada anak-anak negeri.

Amirudin (tengah) pada majlis MoU antara PNSB, SD Guthrie Berhad, IJM Corporation Berhad dan Yayasan Selangor selepas sidang DUN - Foto Facebook MB
Amirudin (tengah) pada majlis MoU antara PNSB, SD Guthrie Berhad, IJM Corporation Berhad dan Yayasan Selangor selepas sidang DUN - Foto Facebook MB

“Pembinaan Edu-Tech Park menerusi inisiatif ini akan memperkasa rakyat Selangor, menarik pelabur global dan merangkumi kampus bertaraf antarabangsa oleh Yayasan Selangor.

“Zon ini akan dibangunkan sebagai ekosistem pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan tenaga hijau bagi melahirkan modal insan berdaya saing serta menyokong agenda strategik negeri,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan negeri beriltizam menjadikan pendidikan dan modal insan sebagai pemacu utama ekonomi masa depan.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, katanya, Selangor turut komited menjadikan Pulau Carey sebagai hab sekuriti makanan strategik menerusi kerjasama dua hala bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tempatan dan antarabangsa termasuk dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Usaha ini bakal memperkukuh keterjaminan makanan negara, melonjakkan syarikat tempatan ke peringkat global serta menarik pelabur dari Timur Tengah, China, Eropah dan ASEAN,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!