X

Kindly register in order to view this article
!

Pandemik Covid-19 beri kesan pasaran getah minggu depan

A
A

KUALA LUMPUR - Pasaran getah Malaysia berkemungkinan meneruskan momentum aliran menurun minggu depan kerana perisytiharan pandemik koronavirus (Covid-19) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis lepas menyebabkan tinjauan negatif untuk pasaran global.

Menggambarkan situasi semasa sebagai 'sangat tidak menentu', Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low berkata, dalam keadaan yang sentiasa berubah, sememangnya sudah dijangka bahawa permintaan komoditi dan harga komoditi akan terjejas teruk.

"Pasaran getah tempatan dijangka kekal lemah dalam minggu yang akan datang dan ia mungkin menjadi lebih rendah," katanya.

Sepanjang minggu lalu, pasaran getah Malaysia didagangkan bercampur-campur ke tahap rendah ditambah dengan tekanan harga minyak mentah yang menjunam jatuh dan kebimbangan Covid-19 yang semakin meningkat berikutan perisytiharan pandemik WHO.

Isnin lepas, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (MRB) bagi gred tayar SMR 20 turun kepada 515.50 sen sekilogram, paras terendah sejak Disember 2018 selepas harga minyak mentah dunia jatuh sebanyak serendah 30 peratus berikutan perang harga dicetuskan oleh Arab Saudi terhadap Rusia.

Denis berkata, pengeluar getah harus bersiap sedia untuk menghadapi keadaan yang paling teruk.

"Bagaimanapun, penyelamat dalam keadaan ini ialah lateks pukal yang akan melihat beberapa permintaan disebabkan peningkatan permintaan untuk sarung tangan getah perubatan dalam persekitaran Covid-19 yang melanda di seluruh dunia," katanya.

Dari asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi gred tayar SMR 20 susut 10.0 sen kepada 527.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal merosot 11.5 sen kepada 437.0 sen sekilogram.

Pada jam 5 petang, harga rujukan fizikal LGM bagi SMR 20 menokok 2.5 sen kepada 539.0 sen sekilogram manakala lateks pukal merosot 12.5 sen kepada 435.5 sen sekilogram pada minggu sebelumnya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus