Rampas 3 negeri, apa peluang BN‑PH?

Kenyataan Ahmad Maslan bahawa tiga negeri PN kini goyah mencetuskan debat politik.
Kenyataan Ahmad Maslan bahawa tiga negeri PN kini goyah mencetuskan debat politik.
A
A
A

KENYATAAN Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa tiga negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) iaitu Perlis, Kedah dan Terengganu kini berada dalam keadaan ‘goyah’, mengundang pelbagai reaksi.

Ia sekali gus membuka semula perbincangan mengenai potensi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk merampas semula negeri-negeri berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut Ahmad, separuh daripada pengundi di negeri-negeri tersebut masih menyokong BN, manakala selebihnya terdiri daripada pengundi atas pagar yang mampu dipengaruhi jika pendekatan tepat digerakkan.

Beliau optimis bahawa gabungan BN-PH mempunyai peluang cerah untuk membuat kemunculan semula sekiranya jentera bergerak tersusun dan naratif perubahan dapat disampaikan secara berkesan.

Namun kenyataan itu segera disanggah pemimpin PN. Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menyindir Ahmad Maslan dengan berkata, “teruskan berangan” dan menyifatkan kenyataan tersebut tidak berpijak di bumi nyata.

Bagi Pas dan Bersatu, mereka yakin bahawa sokongan rakyat terhadap PN masih kukuh berasaskan prestasi pentadbiran dan nilai-nilai yang dibawa.

Pada PRU15, PN menang 14 daripada 15 kerusi DUN di Perlis, PH menang satu kerusi manakala BN tewas semua kerusi yang ditandingi.

Di Kedah pada PRN 2023, PN menang 33 daripada 36 kerusi, PH tiga kerusi. Di Terengganu, PN sapu bersih kesemua 32 kerusi DUN, masing-masing 27 kerusi dimenangi Pas manakala Bersatu lima kerusi.

Dalam politik Malaysia yang semakin cair dari segi kesetiaan parti, kumpulan pengundi atas pagar sering kali menjadi penentu kemenangan.

Artikel Berkaitan:

Di tiga negeri ini, sebahagian besar pengundi bukan sahaja menilai berdasarkan parti tetapi turut mempertimbang aspek pentadbiran, ekonomi tempatan dan kestabilan politik.

Oleh itu, jika BN-PH benar-benar berhasrat untuk menawan kembali negeri-negeri tersebut, mereka perlu menampilkan tawaran yang lebih meyakinkan.

Bukan sekadar janji manifesto, tetapi pelan tindakan yang konkrit, serta usaha memperbetul persepsi rakyat terhadap isu-isu seperti kenaikan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kecekapan tadbir urus.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut menyebut Langkawi sebagai salah satu kerusi Parlimen boleh dimenangi semula oleh BN jika usaha dijalankan secara konsisten.

Ini menunjukkan bahawa gabungan itu telah mengenal pasti kawasan strategik yang memerlukan tumpuan awal. Langkawi bukan sekadar simbol pelancongan tetapi kerusi penting dari segi sentimen rakyat terhadap dasar pembangunan.

Perlis sebagai negeri kecil dengan bilangan kerusi yang terhad boleh berubah haluan dengan cepat sekiranya ada gelombang kebangkitan di peringkat akar umbi.

Kedah pula dengan kepelbagaian etnik dan kawasan campuran bandar-luar bandar, memerlukan pendekatan berbeza mengikut segmen pengundi.

Terengganu kekal sebagai kubu kuat Pas, tetapi bukan mustahil untuk digugat andai sentimen pengundi mula berubah akibat faktor dalaman negeri.

Namun cabaran terbesar ialah membina kepercayaan semula. Bagi sesetengah pengundi kerjasama antara BN dan PH masih sukar diterima selepas permusuhan politik yang panjang.

Oleh itu, Kerajaan Madani harus berusaha keras memperkukuh naratif ‘penyatuan demi kestabilan’ dan menunjukkan hasil positif daripada kerjasama tersebut di peringkat persekutuan.

Kenyataan bahawa tiga negeri PN goyah bukan sekadar gimik politik tetapi satu mesej bahawa medan persaingan kekal terbuka.

Sama ada ia menjadi kenyataan atau tidak, bergantung kepada sejauh mana BN-PH mampu menembusi tembok kepercayaan rakyat dan tampil sebagai pilihan yang benar-benar diyakini.

Dalam landskap politik pasca-PRU15 yang semakin tidak menentu, mana-mana gabungan tidak boleh terlalu selesa. Apa sahaja boleh berlaku dan dalam permainan persepsi serta keyakinan yang disampaikan hari ini bakal membentuk realiti esok.

*Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!