Istana Pahang kesan akaun TikTok sebar video guna wajah Sultan Pahang

KUANTAN – Istana Pahang memberi amaran berhubung penyebaran video palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) memaparkan wajah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa bagi tujuan menipu orang ramai.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang memaklumkan beberapa klip video palsu dikesan disebarkan melalui akaun TikTok ‘datuk_abdul_majid’, ‘datokfahrolaziz07’ dan ‘datuk_abdul_majid7’ kononnya berkaitan tawaran bantuan kepada rakyat.
Menurut kenyataan tersebut, orang ramai dinasihatkan supaya menghentikan penyebaran video berkenaan dan tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam video tersebut.
"Laporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima kandungan mencurigakan.
"Istana Pahang ingin menegaskan bahawa video tersebut adalah tidak benar dan tidak sahih. Ia merupakan penyalahgunaan imej Sultan Pahang bagi tujuan penipuan serta memperdaya orang ramai," katanya dalam kenyataan itu pada Ahad.
Istana Pahang turut menegaskan Sultan Pahang tidak mempunyai sebarang akaun media sosial dan semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan melalui platform media sosial Kesultanan Pahang.
Berdasarkan kenyataan itu, hanya terdapat satu akaun Facebook yang sah iaitu Kesultanan Pahang yang mempunyai kira-kira 725,000 pengikut.
"Di platform media sosial lain seperti Instagram, TikTok, YouTube, Threads dan aplikasi X hanya menggunakan nama Kesultanan Pahang manakala portal rasmi Istana Pahang ialah istanapahang.my."
"Lindungilah diri anda daripada penipuan siber. Hentikan penyebaran maklumat palsu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!