Tukar kata laluan secara berkala elak kena 'scam'

Perkongsian tiga maklumat utama membabitkan nama pengguna, kata laluan dan kod pin dengan pihak ketiga boleh menggalakkan penipuan perbankan dalam talian. Foto hiasan
Perkongsian tiga maklumat utama membabitkan nama pengguna, kata laluan dan kod pin dengan pihak ketiga boleh menggalakkan penipuan perbankan dalam talian. Foto hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Perkongsian tiga maklumat utama membabitkan nama pengguna, kata laluan dan kod pin dengan pihak ketiga boleh menggalakkan penipuan perbankan dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, pelbagai helah dilakukan oleh scammer yang sentiasa menunggu peluang mendapatkan maklumat peribadi pengguna.

Menurut beliau, pihak bank sebenarnya menyediakan tahap keselamatan yang tinggi ketika urusan perbankan dalam talian terutama membabitkan telefon pintar.

"Memang akan ada cubaan scammer memberikan helah supaya pelanggan berkongsi maklumat dan kaedah terbaik ialah menukar kata laluan secara berkala," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Bual Bicara Bank Islam 2025 di sini pada Selasa.

Mohd Muazzam memberitahu, pelanggan bank juga perlu mempunyai kesedaran seiring kemajuan dalam perbankan digital bagi mengelak terjebak dengan penipuan.

Jelas beliau, semua golongan diberi penekanan mengenai cara-cara memastikan penggunaan perbankan dalam talian yang lebih selamat.

"Kita juga mengenal pasti beberapa media sosial atau laman web palsu yang cuba mengelirukan pelanggan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!