Israel cuba bunuh saya - Presiden Iran

TEHERAN - Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mendedahkan Israel cuba membunuhnya, selepas kedua-dua seteru lama itu terbabit perang terbuka selama 12 hari pada bulan lalu.
“Musuh merancang pembunuhan itu, namun gagal. Ia bukan didalangi Washington sebaliknya dirancang sekutu kuat mereka.
“Saya sedang menghadiri mesyuarat pada hari kejadian apabila Israel cuba mengebom kawasan tersebut,” kata Pezeshkian yang membongkar pelan jahat itu ketika wawancara bersama tokoh media Amerika Syarikat (AS), Tucker Carlson.
Pemimpin itu membuka mulut selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh menghebahkan rancangan untuk membunuh Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei atas alasan mengarut kematian tokoh berkenaan akan menghentikan konflik di rantau tersebut.
Tetapi, Presiden Donald Trump bertindak memveto langkah tersebut.
Ketika perang ganas yang meragut lebih 1,000 nyawa, Teheran juga berjaya menggagalkan plot bunuh Tel Aviv ke atas Menteri Luar, Abbas Araghchi.
Ketika wawancara itu, Pezeshkian juga mendakwa Netanyahu sedang cuba meneruskan agenda peribadi untuk melancarkan perang berterusan di Asia Barat.
“AS tidak sepatutnya terlibat dalam konflik tersebut kerana ia jelas 'perang Netanyahu'. Iran sentiasa bersedia untuk memulakan semula rundingan nuklear bersama Washington.
“Kami tidak melihat sebarang masalah untuk kembali berdialog. Tetapi, ada syarat. Bagaimana kami boleh mempercayai semula AS dan mendapat jaminan Teheran tidak akan diserang lagi?” ujarnya lagi.
Konflik terbaharu Iran-Israel yang membawa kepada pelaksanaan gencatan senjata goyah pada 24 Jun lalu telah mengorbankan sejumlah komander tentera dan saintis nuklear Iran serta mengakibatkan kemusnahan infrastruktur berskala besar. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

