Pelihara hak, maruah rakyat ASEAN - Mohamad

Mohamad ketika mempengerusikan Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN Bersama AICHR, sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Selasa. Foto Bernama
Mohamad ketika mempengerusikan Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN Bersama AICHR, sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Integrasi serantau yang sebenar hanya akan tercapai apabila ASEAN memperkasa rakyatnya, agar dapat sama-sama menikmati hasil kemakmuran bersama, pertumbuhan yang adil dan keadilan sosial.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN yang berdaya tahan, dinamik dan berpusatkan rakyat hanya akan bermakna jika semua negara terlibat terlebih dahulu memastikan hak dan maruah rakyat terpelihara.

Justeru menurutnya, Malaysia menyambut baik usaha berterusan oleh Wakil-Wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dalam merangka dua pengisytiharan penting.

"Yang pertama ialah Pengisytiharan ASEAN mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan, dan yang kedua ialah Pengisytiharan mengenai Pemajuan Hak kepada Pembangunan dan Keamanan, ke Arah Merealisasikan Pembangunan yang Inklusif dan Mampan.

"Pengisytiharan ini menonjolkan keprihatinan mendesak dan genting dalam kalangan rakyat kita, terutamanya mereka yang terdedah kepada kerosakan alam sekitar, ketidaksamarataan dan ketidakstabilan.

"Ia mengukuhkan lagi komitmen teguh AICHR untuk memajukan hak asasi manusia di ASEAN, dengan menangani cabaran masa kini dan masa depan secara tepat pada masanya dan relevan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan pembukaan ketika mempengerusikan Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN Bersama AICHR, sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Selasa.

Mohamad berkata, Mesyuarat Suamuka berkenaan amat bertepatan apabila ASEAN kini melangkah ke fasa integrasi seterusnya, susulan pemgambilan dokumen 'ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita' yang dimeterai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei 2025.

Ujar beliau, wawasan tersebut mengiktiraf bahawa pemajuan dan perlindungan hak asasi manusia adalah komponen asas dalam usaha pembinaan komuniti ASEAN.

Artikel Berkaitan:

"Dalam usaha kita merealisasikan Wawasan tersebut, ASEAN mesti menegakkan komitmennya terhadap hak asasi manusia," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap usaha dan mekanisme AICHR akan terus berkembang serta keupayaannya diperkukuh untuk menyampaikan hasil yang berimpak dan memupuk keterlibatan yang bermakna setelah lebih 15 tahun penubuhannya.

Tegas beliau, usaha-usaha tersebut amat penting dalam memajukan hak asasi manusia dan kerjasama serantau, selaras dengan komitmen nasional dan antarabangsa oleh Negara-Negara Anggota ASEAN.

"Segala usaha kita untuk memelihara dan melindungi kesejahteraan rakyat kita mesti dipacu dan dimiliki oleh ASEAN sendiri.

"Ia harus mencerminkan nilai dan norma Negara-Negara Anggota, sambil memastikan ia selari dengan Piagam ASEAN dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!