Tragedi Sungai Korok: Kerajaan teliti pasang lampu jalan, pagar penghadang, kata TPM

Ahmad Zahid mengunjungi Putri Qisya Nur Izzat di Kampung Bohor Karang di Jerlun pada Selasa.
Ahmad Zahid mengunjungi Putri Qisya Nur Izzat di Kampung Bohor Karang di Jerlun pada Selasa.
A
A
A

JERLUN – Kerajaan akan meneliti cadangan pemasangan lampu jalan dan pembinaan pagar penghadang di laluan berhampiran Sungai Korok susulan tragedi menyayat hati yang meragut enam nyawa sekeluarga pada pagi Isnin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi memastikan aspek keselamatan di kawasan berkenaan ditambah baik dan kejadian serupa tidak berulang.

“Kita difahamkan laluan ini tidak mempunyai lampu jalan dan keadaan agak gelap. Jadi, saya akan ikhtiarkan pemasangan lampu jalan bukan sahaja di kawasan ini, tetapi juga di kawasan-kawasan gelap yang lain.

“Saya juga akan maklumkan perkara ini kepada menteri yang berkaitan kerana secara kebetulan saya merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Jalan Raya. Tindakan segera perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi rumah nenek kepada Putri Qisya Nur Izzat, 12, satu-satunya anak mangsa yang terselamat dalam tragedi itu, di Kampung Bohor Karang di sini.

Dalam lawatan tersebut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyatakan komitmen kerajaan untuk menjaga kebajikan Putri Qisya yang kehilangan kedua-dua ibu bapa dan empat adik-beradiknya dalam kejadian itu.

“Saya telah nasihatkan adik ini supaya menjadi anak yang solehah, kerana doa anak yang solehah kepada ibu bapa tiada hijab.

“Saya juga galakkan dia untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depannya. Insya-ALLAH, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bersedia menerimanya tahun depan dan perkara itu turut dipersetujui oleh neneknya,” katanya.

Beliau turut mengumumkan bahawa Putri Qisya akan dijadikan anak angkat Majlis Amanah Rakyat (MARA) sehingga ke peringkat universiti, dan segala bantuan yang diperlukan akan diusahakan.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu, kereta Proton Iswara yang dinaiki enam sekeluarga dipercayai terbabas ke dalam Sungai Korok sebelum ditemukan tenggelam.

Mangsa yang terkorban ialah Mohamad Azim Izat Ishak, 32; isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31; serta empat anak mereka, Putra Rayyan Nur, 9; Hawa Adriana Nur, 8; Annayla Humaira Nur, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan.

Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang pada malam Isnin.

Putri Qisya terselamat kerana bermalam di rumah ibu saudaranya di Taman Seri Aman, Jitra pada malam kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!