Lukisan Jane jadi cerminan isu semasa, sejagat

Jane Mojulat melihat lukisan sebagai medium untuk meluahkan ekspresi diri, terutama dalam konteks hubungan antara lelaki dan wanita.
Jane Mojulat melihat lukisan sebagai medium untuk meluahkan ekspresi diri, terutama dalam konteks hubungan antara lelaki dan wanita.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Jane Mojulat, artis kelahiran Penampang, Sabah, kembali mewarnai dunia seni dengan pendekatan yang penuh ekspresi peribadi dan keberanian dalam mengetengahkan isu-isu semasa, keperibadian feminine dan dinamika hubungan antara lelaki dan wanita.

Setelah sekian lama menyepi daripada dunia lukisan, Mojulat kini tampil dengan karya-karya yang mendalam dan penuh emosi dalam pameran solo sulungnya di Menara KPJ, Kuala Lumpur bermula 22 Jun hingga 12 Julai ini.

Mula menceburi dunia seni seawal usia 17 tahun, Mojulat kemudiannya tidak aktif dalam penghasilan karya selama beberapa tahun. Namun pada tahun 2019, beliau kembali melukis dengan lebih matang dan berani, memfokuskan kepada subjek-subjek yang dekat di hati, Wanita-feminisme, isu global dan hubungan manusia.

Lukisan-lukisannya membawa suara tentang kepekaan emosi dan realiti yang sering dialami oleh setiap individu namun jarang diungkapkan dan diluahkan di atas kanvas (lukisan).

Mengulas tentang falsafah seninya, Mojulat melihat lukisan sebagai medium untuk meluahkan ekspresi diri, terutama dalam konteks hubungan antara lelaki dan wanita.

“Banyak yang ingin saya sampaikan tentang perasaan, kekuatan dan kerentanan dalam setiap sisi kehidupan saya dan manusia lain.

“Lukisan ialah ekspresi diri saya mengenai kehidupan tentang bagaimana saya melihat dunia dan bagaimana saya merasai pelbagai cabaran, terutamanya sebagai seorang wanita.

“Isu feminisme dan hak wanita sangat dekat di hati saya. Melalui warna, bentuk dan tekstur, saya mencerminkan keresahan, kekuatan dan harapan yang dialami oleh ramai wanita di seluruh dunia. Ia bukan hanya tentang kesedihan atau perjuangan, tetapi juga tentang keindahan menjadi diri sendiri. Setiap karya saya ialah suara yang mungkin tidak kedengaran di tempat lain tetapi di atas kanvas, ia bersuara dengan jujur dan lantang,” terang Jane.

Jane lahir dan membesar di Penampang (Sabah), kemudiannya berpindah ke London (United Kingdom) selepas usia 17 tahun, sebelum menetap di Arkansas, Georgia, Oklahoma dan Florida di Amerika Syarikat membolehkan beliau mempunyai perspektif dan pengalaman hidup yang kaya dengan pelbagai budaya. Ia secara langsung dan tidak langsung menyemai kelainan dalam sentuhan artistiknya melalui setiap karyanya di atas kanvas.

Artikel Berkaitan:

Lukisan bertajuk The Watcher Within karya Jane Mojulat mengetengahkan isu hubungan antara lelaki dan wanita yang mempunyai pelbagai konflik.
Lukisan bertajuk The Watcher Within karya Jane Mojulat mengetengahkan isu hubungan antara lelaki dan wanita yang mempunyai pelbagai konflik.

Beliau menggunakan bahan akrilik, media campuran dan teknik 3D dalam penghasilan karyanya.

Gabungan gaya abstrak moden dan elemen “doodle” menghasilkan karya yang bukan sahaja kuat dari segi visual, tetapi juga mencetuskan pemikiran yang mendalam.

Setiap karya mengandungi simbolisme tersendiri, membuka ruang kepada peminat seni untuk menyelami cerita, rasa dan konflik yang terpendam yang dipaparkan dalam setiap karya yang dihasilkan oleh Jane.

Lukisan bertajuk The Language of Being Karya Jane Mojulat merupakan antara karya terbaik artis kelahiran Penampang, Sabah ini.
Lukisan bertajuk The Language of Being Karya Jane Mojulat merupakan antara karya terbaik artis kelahiran Penampang, Sabah ini.

Untuk rekod, pameran solo Jane Mojulat di Malaysia bertajuk “Eyed Everything, Mouth Humbled” ini dirasmikan oleh Pengasas Humanology Sdn Bhd, Datuk Dr Leow Chee Seng,

Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Leow menyatakan lukisan merupakan salah satu terapi diri yang wajar dijadikan sebagai pilihan terbaik kepada mereka yang dalam tekanan emosi.

Dr. Leow mahu lebih ramai pihak menerokai lukisan sebagai terapi minda.
Dr. Leow mahu lebih ramai pihak menerokai lukisan sebagai terapi minda.

“Ekspresi seni melalui lukisan bukan sekadar hasil kreativiti, malah merupakan salah satu elemen penting dalam bidang terapi dan psikologi kerana ia membantu individu memahami, mengungkap dan menyembuhkan emosi yang sukar diluahkan dengan kata-kata.

“Dalam dunia yang serba pantas ini, seni seperti karya Jane ini memberikan ruang untuk kita berhenti sejenak, merenung dan menyentuh sisi kemanusiaan yang semakin terhakis.

“Seni adalah suara jiwa dan suara seperti Jane sangat diperlukan dalam membentuk masyarakat yang lebih empati dan sensitif dengan keperluan manusia lain,” ujarnya.

Jane (dua dari kanan) bersama Dr. Leow dan Rita Hatta yang merupakan penganjur pameran ini.
Jane (dua dari kanan) bersama Dr. Leow dan Rita Hatta yang merupakan penganjur pameran ini.

Sementara itu, menurut Pengasas Art Market Malaysia, Rita Hatta juga penganjur pameran ini, menyeru agar lebih banyak sektor korporat dapat menyokong pameran seumpama ini.

“Karya Jane Mojulat ialah suara yang unik dari Malaysia yang perlu diberi perhatian di pentas antarabangsa. Karyanya merentas sempadan budaya dan emosi jujur, berani dan sangat peribadi.

“Sebagai seorang artis wanita dari Sabah yang lebih separuh daripada hidupnya di UK dan Amerika Syarikat, Jane bukan sahaja mewakili kreativiti Malaysia, malah memperlihatkan bagaimana pengalaman peribadi dan global boleh disatukan dalam satu bahasa visual yang penuh makna.

“Kami sangat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya”, ujar Rita.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!