Rafizi gerakkan Ayuh Malaysia, bina jaringan rakyat melalui perusahaan sosial

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bakal menggerakkan kempen Ayuh Malaysia sebagai platform membina jaringan rakyat di peringkat akar umbi menerusi perusahaan sosial bagi menjamin kebajikan ekonomi dan sosial masyarakat.

Rafizi berkata, langkah tersebut selaras dengan matlamat asal perjuangannya untuk membudayakan ketelusan, kebertanggungjawaban, merancakkan persaingan dan mengangkat merit dalam masyarakat serta negara.

Namun beliau mengakui tidak semua perubahan dapat dibawa melalui platform politik semata-mata.

“Saya tidak bermula sebagai seorang ahli politik. Saya bermula sebagai seorang aktivis yang ada kesedaran politik bahawa Malaysia perlu berubah kepada sistem yang lebih telus.

“Sebahagiannya perlu dibawa melalui platform politik, sebahagian lagi perlu digerakkan dari akar umbi supaya budaya ini menjadi amalan dalam masyarakat, apatah lagi kerana kita tahu bukan semua ahli politik mengalu-alukan perubahan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, pada Selasa.

Rafizi berkata, senario tersebut menyebabkan dirinya berlapang dada dan bersyukur dengan percaturan politik sehingga membawa kepada peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi.

“Sejak kempen pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 bermula, saya sudah memutuskan fokus saya seterusnya ialah membina jaringan rakyat melalui perusahaan sosial sebagai usaha memupuk budaya perubahan dari akar umbi,” katanya.

Menurutnya, model perusahaan sosial masih asing di negara ini kerana kebanyakan kegiatan ekonomi diusahakan oleh entiti bermotifkan keuntungan, manakala aktiviti berasaskan masyarakat pula dijalankan sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang bergantung kepada sumbangan orang ramai atau geran kerajaan.

“Perusahaan sosial ialah sebuah entiti yang menjalankan aktiviti yang membantu masyarakat, dengan keuntungan dikembalikan kepada pekerja dan masyarakat, berbanding perniagaan biasa yang menyimpan keuntungan untuk pemilik atau pemodal.

Artikel Berkaitan:

“Perusahaan sosial berupaya menawarkan perkhidmatan atau barangan pada harga yang lebih baik berbanding dengan sebuah perniagaan biasa,” jelasnya.

Oleh itu, tegasnya, beliau terpanggil untuk menggembleng usaha mewujudkan sektor ketiga, iaitu perusahaan sosial yang bermatlamatkan masyarakat, tetapi dibiayai melalui operasi perniagaan yang diurus secara cekap dan membina kekuatan kewangan sendiri.

“Fokus utama saya dalam masyarakat selepas ini ialah menggerakkan sektor ketiga menggunakan platform Ayuh Malaysia.

“Ayuh Malaysia akan menjadi platform sehenti bagi membangunkan sebanyak mungkin perusahaan sosial dalam pelbagai bidang dengan penglibatan rakyat.

“Platform ini akan menyediakan kepakaran, bantuan dan penyeliaan kewangan agar perusahaan sosial ini berdaya saing dan diuruskan dengan jujur, sekali gus menghubungkan mereka dengan kumpulan penerima sasar yang akan beroleh manfaat,” ujarnya.

Rafizi memaklumkan, pelancaran Ayuh Malaysia sebagai platform sehenti jaringan perusahaan sosial akan diadakan pada 27 Julai, yang mana perancangan terperinci akan dibentangkan semasa majlis pelancaran.

“Saya mengajak aktivis serta rakyat untuk bersama-sama menyumbang dalam membina jaringan perusahaan sosial.

"Kehadiran jaringan yang kukuh dalam masyarakat dapat menjamin kelangsungan kebajikan ekonomi dan sosial masyarakat di sebalik ketidaktentuan politik yang berlaku,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!