Lebih setahun menanti, peniaga rayu MBJB percepat pemindahan semula

JOHOR BAHRU - Beberapa peniaga di penempatan sementara Anjung Selera Laman Tasik Pandan di sini meluahkan rasa kecewa apabila janji pemindahan semula ke lokasi yang diubah suai belum menjadi kenyataan selepas lebih setahun menanti.
Salah seorang peniaga, Sarimah Abdullah, 58, berkata, ketika ini dia meneruskan perniagaan di bawah khemah yang disediakan pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tetapi banyak cabaran terpaksa dihadapi.
"Kami terpaksa tambah bumbung sendiri untuk letak meja dan kerusi sebab nak elak tempias bila hujan. Itu pun untuk keselesaan pelanggan bila ramai sebab saya jual menu sarapan dan nasi campur tengah hari.
"Selain itu, ada juga bau busuk dan serangan lalat sebab ada tong sampah yang berada di depan kedai sementara ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Selasa.
Sebelum ini, Anjung Selera Laman Tasik Pandan mula diubah suai bermula 11 Oktober 2023 dan dijangka siap pada 20 Februari tahun lalu.
Bagaimanapun, sehingga kini peniaga asal tidak diberikan sebarang maklum balas mengenai pemindahan semula dari tapak sementara ke bangunan asal.
Mengulas lanjut, Sarimah memaklumkan bahawa barangan niaga seperti serbuk minuman dan juga wang tunai pernah dicuri.
Menurutnya, bagi mengelakkan kes kecurian semakin parah, dia terpaksa membiarkan kanvas di hadapan kedai tidak diturunkan agar pengawal keselamatan di seberang jalan boleh bantu memantau gerai pada sebelah malam.
"Pencuri ambil benda ringan saja seperti Milo, Nescafe... ada juga dia ambil duit yang kita simpan untuk bayar ayam mentah. Rakan niaga pun pernah alami situasi sama

"Jadi saya ambil keputusan tak turunkan kanvas ini supaya pengawal keselamatan di sana (kawasan perumahan) boleh tolong tengokkan kedai," ujarnya.
Pada masa sama, peniaga aneka sup, Abdul Raub Bachok, 56 berkata, dia terpaksa mencari pendapatan sementara dengan membawa teksi bagi menampung perbelanjaan harian sekeluarga.
Dia yang sudah menjalankan perniagaan dari sejak 2009 itu mengakui bahawa penempatan sementara yang disediakan ketika ini adalah kurang sesuai.
"Banyak masalah dihadapi perniaga termasuklah dengan khemah yang disediakan. Dah lebih setahun kami dijanjikan akan dipindahkan semula... sepatutnya Februari 2024, tapi sampai sekarang tiada berita.
"Saya ada buat aduan, dua kali iaitu pada April dan Jun lalu tapi masih tiada sebarang perubahan. Meja semua dah ada di situ, tapi kami sendiri tak tahu apa yang belum disiapkan.
"Kenapa terlalu lama? Pihak MBJB pun tak pernah turun padang jumpa peniaga untuk jelaskan. Kami berharap sangat dapat masuk ke situ segera, kami dah tak mampu bertahan dah," ujarnya.
Sementara itu, Noordiana Seman, 38, berkata, cabaran lain dihadapi peniaga ialah kehadiran haiwan perosak seperti tikus dan lipas serta berbisa seperti ular.
Menurutnya, masalah fasiliti seperti tandas juga menjadi cabaran utama untuk peniaga dan pelanggan yang datang ke gerai sementara itu.
"Masalah tikus dan lipas pun ada, rakan niaga saya pernah nampak ular juga di kawasan sini. Paling mencabar bila hari hujan sebab tempias.
"Kadang-kadang pelanggan akan minta bungkuskan saja makanan sebab kena air ketika makan. Saya pun dah dua kali beli kanopi baharu, satu berharga RM250," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

