LTAM dicadang jadi litar 'drag race'

Kee Tiong (empat dari kiri) mahu anjurkan acara ‘drag'.
Kee Tiong (empat dari kiri) mahu anjurkan acara ‘drag'.
A
A
A

MELAKA - Seorang mekanik yang aktif dalam dunia sukan permotoran mencadangkan agar Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dijadikan lokasi bagi acara ‘drag race’ sebagai tarikan baharu dalam kalendar pelancongan negeri ini.

Pemilik bengkel Vag Top Auto Garage, Yong Kee Tiong, 45, berkata, inisiatif itu bukan sahaja mampu merancakkan sektor pelancongan, malah dapat mengurangkan penglibatan belia dalam aktiviti lumba haram.

Menurutnya, selain Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC) di Durian Tunggal, kawasan lapang di LTAM juga sesuai dijadikan litar ‘drag race’ sementara atau kekal, memandangkan infrastrukturnya sedia ada dan mudah diakses.

Katanya, bimbang kerana hampir setiap hari kemalangan membabitkan golongan belia dilaporkan selain beberapa jalan di negeri ini yang sering dijadikan lokasi bagi aktiviti tidak sihat itu terutama pada malam minggu.

"Dengan adanya platform tersebut dapat menjadi medium golongan berkenaan menunjukkan bakat sekali gus program ini dapat menarik pelancong.

"Mereka perlukan platform yang sah untuk beraksi dan saya melihat LTAM lokasi yang sesuai dan strategik bagi aktiviti seumpama itu,” katanya ketika ditemui di Taman Merdeka Permai, Batu Berendam di sini pada Selasa.

Tambah Kee Tiong, pengalaman lebih dua dekad dalam industri automotif, khususnya dalam pembaikan kotak gear dan penalaan modul kawalan enjin (ECU tuning), menjadi kelebihan untuk menarik minat golongan muda menyertai sukan ini secara sihat.

Ujarnya, pasukannya juga bersedia menawarkan kepakaran dan pengalaman untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi merealisasikan cadangan tersebut sebagai sebahagian promosi awal Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

"Sejak saya menceburi dunia sukan ‘drag race’ lima tahun lalu dan berjaya meraih tempat pertama, saya melihat semakin ramai belia menunjukkan minat terhadap sukan ini.

Artikel Berkaitan:

"Sukan permotoran ini bukan sekadar hiburan, tapi peluang keemasan untuk Melaka muncul sebagai hab permotoran bertaraf antarabangsa," ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!