Empat penerbangan Malaysia Airlines terjejas akibat penutupan Lapangan Terbang Heathrow

Lapangan Terbang Heathrow, yang merupakan lapangan terbang tersibuk di Eropah, ditutup pada awal 21 Mac 2025 selepas kebakaran besar di stesen janakuasa menyebabkan gangguan bekalan elektrik. Foto AFP

A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke London terjejas akibat gangguan bekalan elektrik di Lapangan Terbang Heathrow London, United Kingdom kata Malaysia Aviation Group (MAG).

Lapangan terbang itu ditutup selepas kebakaran berlaku di stesen janakuasa elektrik berhampiran mengakibatkan bekalan elektrik terputus.

MAG berkata, penerbangan Malaysia Airlines MH2 yang berlepas pada 20 Mac, jam 11.37 malam dari Kuala Lumpur ke London telah dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol Amsterdam di Belanda.

Pesawat yang membawa 246 penumpang dan 17 anak kapal itu selamat mendarat pada 6.19 pagi waktu tempatan Amsterdam.

"Penumpang ditempatkan di hotel berhampiran lapangan terbang, ada juga dipindahkan dalam penerbangan lain," katanya dalam satu kenyataan.

Beberapa kakitangan berjalan melewati stesen janakuasa yang masih berasap di Hayes, London barat, yang membekalkan tenaga ke Lapangan Terbang Heathrow, selepas kebakaran berlaku pada 21 Mac 2025. Foto AFP

Sementara itu, penerbangan MH4 pada 21 Mac yang membawa 187 penumpang dan 17 anak kapal akan pulang ke Kuala Lumpur dan dijangka tiba pada 3.30 petang waktu tempatan pada Jumaat.

Penerbangan lain yang terjejas ialah penerbangan MH1 dan MH3 dari London ke Kuala Lumpur hari ini.

"Malaysia Airlines amat kesal atas kesulitan dan gangguan yang berlaku menyebabkan rancangan perjalanan penumpang kami terjejas.

"Keselamatan kekal sebagai keutamaan nombor satu kepada Malaysia Airlines," katanya.

Menurut laporan media, lapangan terbang London Heathrow akan ditutup sehingga tengah malam pada Jumaat kerana gangguan bekalan elektrik. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!