Khutbah Jumaat JAIM ingatkan umat Islam pilih pemimpin berintegriti, bukan kerana sentimen politik

MELAKA – Umat Islam diingatkan supaya memilih pemimpin yang berintegriti, berwibawa dan mempunyai kemampuan melaksanakan amanah dan bukannya membuat keputusan berdasarkan sentimen politik, fitnah atau kepentingan kelompok tertentu.
Khutbah yang dibacakan di masjid-masjid pada Jumaat menegaskan, pilihan raya bukan sekadar proses memilih wakil rakyat, sebaliknya satu amanah besar dalam menentukan hala tuju kepimpinan serta kesejahteraan masyarakat.
Menurut khutbah itu, kepimpinan dalam Islam bukan berasaskan kedudukan, kemasyhuran atau kekuasaan semata-mata, sebaliknya menuntut tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan dengan adil.
Umat Islam perlu memberikan perhatian kepada dua ciri utama dalam memilih pemimpin, iaitu integriti serta keupayaan dan kewibawaan untuk memikul tanggungjawab.
"Pemimpin yang baik ialah mereka yang jujur, bertanggungjawab serta tidak menggunakan kuasa untuk kepentingan diri, keluarga, kelompok atau pihak tertentu," menurut khutbah bertajuk 'Menunaikan Tanggungjawab Demi Masa Hadapan' berkenaan.
Selain integriti, pemimpin juga perlu memiliki ilmu, kebijaksanaan, pengalaman serta kemampuan melaksanakan tanggungjawab kerana keikhlasan semata-mata tidak mencukupi tanpa keupayaan untuk memikul amanah.
Menurut Khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Melaka, umat Islam turut diingatkan supaya tidak menjadikan perbezaan pilihan politik sebagai alasan untuk bermusuhan, memutuskan hubungan persaudaraan atau mencetuskan kebencian sesama masyarakat.
Menurut khutbah itu, perbezaan pandangan tidak seharusnya menyebabkan hubungan kejiranan terputus, adik-beradik bermasam muka atau sahabat lama bermusuhan.
Malah, amalan meraih sokongan melalui fitnah dan hasutan juga perlu dijauhi kerana boleh merosakkan maruah serta amanah masyarakat.
"Pilihan raya yang berlangsung hanya sehari, tetapi kesannya boleh dirasai bertahun-tahun.
"Justeru, buatlah keputusan berdasarkan pertimbangan yang teliti, semak kesahihan maklumat serta utamakan kepentingan masyarakat. Jangan biarkan sentimen atau hasutan sementara mengatasi prinsip, akal dan tuntutan agama," menurut khutbah itu.
Khutbah berkenaan turut mengingatkan umat Islam supaya menerima keputusan pilihan raya dengan hati terbuka selepas keputusan diumumkan.
Mereka yang diberikan mandat pula perlu melaksanakan tanggungjawab dengan jujur, adil dan berwibawa, manakala pihak yang tidak terpilih tidak seharusnya menjadikan kekalahan sebagai alasan untuk terus bermusuhan.
Seluruh masyarakat diseru supaya terus memelihara keamanan, perpaduan dan keharmonian meskipun mempunyai perbezaan dalam memilih pemimpin.
Khutbah itu turut mengingatkan bahawa umat Islam perlu berlaku adil dalam setiap keadaan, termasuk terhadap pihak yang berbeza pandangan atau tidak sehaluan dalam politik.
PRN Melaka kali ini menyaksikan seramai 79 calon layak bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN selepas proses penamaan calon pada 31 Oktober lalu sekali gus menyaksikan tempoh kempen selama 14 hari.
Pakatan Harapan (PH) menampilkan 24 calon, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 23 calon, Parti Bersama Malaysia (16), Parti Pribumi Bersatu (7), Perikatan Nasional (5) tiga calon Bebas dan seorang calon daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia daripada keseluruhan 28 kerusi DUN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
