X

Kindly register in order to view this article
!

‘Harap komen rasis tak berulang lagi’

B Sathianathan -Foto Bernama
A
A

KETUA Jurulatih Selangor, B Sathianathan bukan hanya 'acah-acah', sebaliknya beliau tetap dengan pendiriannya apabila membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam semalam.

Sathianathan menegaskan, laporan polis yang dibuat itu bertujuan untuk memberi pengajaran kepada mana-mana individu yang terbabit memberi komen negatif berunsur perkauman supaya tidak lagi mengulangi perkara sama.

Menurut Sathianathan, beliau juga mahu para peminat dan penyokong bola sepak terutamanya dalam kalangan netizen bertanggungjawab dan lebih sensitif sebelum memberikan kenyataan atau komen di laman sosial.

"Laporan (polis) dibuat kerana komen berbaur perkauman itu bukan sekali saya terima tapi sudah banyak kali. Saya boleh terima dan terbuka bila you kritik serta kutuk mengenai prestasi pasukan berkaitan taktikal ataupun nak kata saya salah pilih pemain sebab ia berkaitan profesion profesional saya.

"Komen daripada segelintir pihak sebeginilah yang saya memang tidak boleh bertolak ansur.

"Tak patut sungguh komen sedemikian dalam negara pelbagai kaum seperti Malaysia ini, saya orang Malaysia dan dilahirkan di Malaysia, datuk saya pun lahir di Malaysia," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, Sathianathan membuat laporan polis di IPD Shah Alam pada jam 11 pagi semalam berhubung kenyataan yang berbaur perkauman terhadapnya dan pemain pertahanan Selangor, K Prabakaran di laman sosial Facebook.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

"Kita menyiasat kes itu mengikut Seksyen 505 C Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998," katanya.

Pada sidang media selepas perlawanan Liga Super berdepan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil Ahad lalu, Sathianathan seakan-akan tidak dapat lagi membendung kemarahannya terhadap segelintir penyokong yang memberikan komen rasis.

Rentetan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengeluarkan amaran kepada pihak yang terlibat agar segera menghentikan perbuatan tidak bermoral tersebut.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan meminta mana-mana pihak supaya tampil membuat aduan rasmi kepada badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu sekiranya timbul isu perkauman.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!