Covid-19: JAIS tangguh program besar libat orang awam serta-merta

Seorang lelaki lengkap memakai topeng muka mengaminkan bacaan doa sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara hari ini. - Foto Bernama
Seorang lelaki lengkap memakai topeng muka mengaminkan bacaan doa sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM- Program berskala besar melibatkan orang awam anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) termasuk acara sukan dan ko-kurikulum di semua sekolah seliaan jabatan itu ditangguhkan serta-merta mulai hari ini.

JAIS dalam satu kenyataan memberitahu, langkah itu dilakukan berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengurangkan risiko penularan koronavirus (Covid-19) ketika ini.

“Program seperti Kemahiran Amal Islami (KAMIL) di sekolah rendah agama, sekolah rendah agama integrasi, KAFA Integrasi, sekolah rendah Islam dan pra sekolah negeri Selangor seliaan JAIS ditangguhkan.

“Pada masa ini, pihak sekolah akan mengutamakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas sahaja,” menurut kenyataan berkenaan di sini hari ini.

Menurut JAIS, guru dan pelajar sekolah juga disaran menggalakkan amalan mencuci tangan serta menitikberatkan penjagaan jarak sosial dengan mana-mana individu yang mempunyai gejala wabak berkenaan.

Pada masa sama, JAIS memberitahu, pihaknya turut mengedarkan panduan untuk orang awam ketika berada di masjid dan surau, serta adab dalam melakukan ibadah kepada semua masjid serta surau di Selangor sebagai langkah meminimumkan risiko penularan Covid-19.

Selain itu, JAIS juga mengambil langkah pencegahan dengan menggalakkan orang ramai menggunakan Sistem Nikah, Cerai dan Rujuk (NCR Online) secara atas talian bagi mengurangkan interaksi fizikal dengan warga jabatan berkenaan buat masa ini.

JAIS juga melaksanakan disinfeksi di kaunter tumpuan utama jabatan tersebut susulan penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Pagi tadi JAIS mengarahkan program dan aktiviti tabligh di masjid dan surau seluruh negeri itu ditangguhkan buat sementara waktu susulan penularan Covid-19 ketika ini.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, arahan itu dikeluarkan atas nasihat KKM selepas berlakunya jangkitan wabak berkenaan daripada satu majlis keagamaan melibatkan tabligh di Sri Petaling baru-baru ini.-Bernama