Polis tahan 22 individu terlibat tipu pinjaman RM150,000

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim (tengah) bercakap pada sidang media berhubung kejayaan pihak polis menumpaskan sindiket penipuan skim pinjaman tidak wujud di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim (tengah) bercakap pada sidang media berhubung kejayaan pihak polis menumpaskan sindiket penipuan skim pinjaman tidak wujud di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR- Polis menahan 22 individu dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan pinjaman wang tidak wujud melalui media sosial, yang melibatkan kerugian RM150,000 dalam dua serbuan, di Jalan Setapak dan Jalan Genting Klang, Selasa lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, serbuan dilakukan hasil risikan Bahagian Operasi dan Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, dengan kerjasama JSJK Kuala Lumpur.

Beliau berkata dalam serbuan pertama sekitar jam 6.54 petang di Jalan Setapak, polis menahan enam orang terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita warga tempatan serta seorang lelaki warganegara India.

"Bagi serbuan kedua jam 9.15 malam, polis telah menahan 15 lelaki dan seorang wanita warga tempatan di sebuah premis di Jalan Genting Klang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam kedua-dua serbuan itu polis turut merampas 55 telefon bimbit, 28 buku nota, empat bagasi, dua pasport India, komputer riba dan sebuah tablet iPad.

Mazlan berkata hasil siasatan awal mendapati kegiatan yang didalangi individu dikenali sebagai 'Manggo’ ini telah beroperasi sejak Januari lepas dan kedua-dua premis yang diserbu, merupakan pusat panggilan bagi sindiket yang menawarkan pinjaman tidak wujud, melalui aplikasi media sosial iaitu Whatsapp, Facebook dan Line.

Sindiket itu menjalankan modus operandi dengan memperdayakan mangsa melalui mesej tawaran pinjaman wang menerusi aplikasi tersebut secara rambang kepada orang ramai, dan mangsa yang terpedaya akan menghubungi suspek dengan mengirimkan gambar salinan kad pengenalan dan slip gaji, sebelum permohonan mereka diluluskan dalam tempoh dua atau tiga jam.

Setelah lulus, suspek akan meminta mangsa memasukkan wang antara RM2,000 dan RM3,000 sebagai yuran pemprosesan pinjaman.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, polis masih mengenal pasti identiti dan lokasi sebenar dalang utama sindiket ini, yang juga dipercayai seorang lelaki tempatan.

“Kesemua suspek berusia 18 hingga 39 tahun itu, didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mereka direman bermula 11 Mac sehingga hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Selain itu, Mazlan menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan iklan pinjaman kewangan di media sosial, supaya tidak menjadi mangsa sindiket pinjaman tidak wujud.-Bernama