Hina Sultan Johor, polis tahan pemilik akaun 'Indera Mulia'

Seorang individu menghina Sultan Johor di platform media sosial ditangkap di Puchong, Selangor pada Isnin.- Gambar hiasan
Seorang individu menghina Sultan Johor di platform media sosial ditangkap di Puchong, Selangor pada Isnin.- Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Perbuatan biadab seorang individu menghina Sultan Johor di platform media sosial membawa padah apabila dia ditangkap di Puchong, Selangor pada Isnin.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, menerusi maklumat diterima, polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun di sebuah rumah beralamat di Puchong.

Beliau berkata, dalam serbuan tersebut, pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sekeping kad sim yang dipercayai digunakan bagi membuat hantaran jelik tersebut.

"Suspek dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor menerusi akaun Facebook menggunakan nama 'Indera Mulia' pada 20 April lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Noorsiah berkata, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan.

Tambahnya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Sehubungan itu menurutnya, satu permohonan reman terhadap suspek dilakukan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat pada 25 April di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.

"PDRM menasihatkan orang ramai tidak menyalahgunakan platform media sosial dengan mengeluarkan kenyataan yang mengundang kemarahan, menimbulkan rasa benci kepada agama, bangsa, kaum, raja dan seumpamanya yang boleh membawa kepada ketidakharmonian dan perpaduan negara," katanya.