'Cuma RM2,689... impian masuk UIA hampir terkubur'

Che Nur Anis (dua, kanan) semasa menerima kunjungan daripada Briged Negaraku Kelantan wakili oleh Muhammad Arief (dua, kiri) di rumahnya di Jalan Embung, Kuala Krai.
Che Nur Anis (dua, kanan) semasa menerima kunjungan daripada Briged Negaraku Kelantan wakili oleh Muhammad Arief (dua, kiri) di rumahnya di Jalan Embung, Kuala Krai.
A
A
A

KUALA KRAI – “Saya hanya perlukan RM2,689... tapi kerana jumlah itu, saya hampir lepaskan peluang keemasan untuk masuk ke universiti.”

Itu luahan sayu seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Che Nur Anis Che Azami, 18, dari Jalan Embung di sini apabila impiannya menyambung pengajian ke menara gading hampir terkubur disebabkan kekangan kewangan keluarga.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra (1) itu memperoleh semua A dalam lapan mata pelajaran, namun kegembiraan menerima tawaran Asasi Bahasa Melayu Untuk Komunikasi Antarabangsa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pahang bertukar menjadi kegusaran.

“Bagi orang lain mungkin jumlah itu kecil, tapi bagi keluarga kami, ia amat besar. Saya cuba cari jalan... ayah kata dia sanggup buat apa sahaja untuk bayar yuran,” katanya dengan nada sebak kepada Sinar Harian.

Menurut Che Nur Anis yang merupakan anak keenam daripada lapan beradik itu, bapanya hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan, manakala ibunya tidak bekerja dan kini sedang sakit akibat ketumbuhan dalam perut.

"Ayah perlu bayar sewa rumah, beli barang dapur dan sara adik-beradik yang masih bersekolah.

"Saya mengambil inisiatif bekerja sambilan di sebuah kedai runcit dengan upah RM50 sehari dan telah berjaya mengumpulkan lebih RM1,000. Namun jumlah itu masih belum mencukupi untuk membayar yuran pendaftaran dan membeli keperluan asas pengajian.

“Saya hampir putus asa. Tapi saya percaya, hanya pendidikan yang boleh ubah hidup keluarga kami. Jadi saya nekad,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Briged Negaraku Kelantan, Muhammad Arief Mohd Zain memberitahu, pihaknya terpanggil untuk membantu Che Nur Anis selepas mendengar kesungguhannya dan keadaan keluarga pelajar berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, sumbangan berjumlah RM3,000 telah diserahkan untuk bayaran yuran dan kelengkapan belajar.

"Kami harap ia jadi permulaan kepada masa depan cerah buat Che Nur Anis yang kebetulan merupakan bekas pelajar saya semasa mengajar di SK Kuala Krai,” katanya.

Che Nur Anis akan mendaftarkan diri di UIAM pada Selasa dan dijangka akan dijemput oleh kenderaan universiti ditemani oleh kakak serta abangnya.

Bagaimanapun, ibu bapanya tidak dapat turut serta kerana masalah kesihatan.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Che Nur Anis (553029654798).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!