X

Kindly register in order to view this article
!

Hala tuju Perikatan Nasional

A
A

RABU lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu wawancara eksklusif bersama akhbar Sinar Harian menyatakan bahawa beliau percaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mampu bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini disebabkan PN sudah mempunyai cukup sokongan di dalam Dewan Rakyat.Sebagai pemerhati politik meletakkan jangka hayat PN sehingga PRU15 barangkali berkait rapat dengan PN sebagai sebuah pakatan politik yang longgar dan masih muda.

Tambahan pula pengalaman Dr Mahathir memimpin dua parti yang berbeza sebagai Perdana Menteri, mungkin inilah yang dijadikan asas kepada kenyataan itu.Sebelumnya, Dr Mahathir memiliki sokongan yang kuat sebagai Perdana Menteri ketika memimpin UMNO disebabkan kekuatan dan kemampuannya untuk menjadi kuasa pemutus dalam Barisan Nasional (BN) yang memiliki jumlah kerusi yang terbesar di Parlimen.

Namun begitu, hal ini tidak berlaku ketika dalam Pakatan Harapan (PH), disebabkan itulah agak sukar untuk Dr Mahathir mengawal dan mengimbangi persaingan antara parti dalam PH yang akhirnya terpaksa kehilangan kuasa memerintah. Mungkin sebab itulah beliau mengeluarkan kenyataan itu.

Mengapa begitu? Kerana senario PN ketika ini mirip kerajaan pramatang PH daripada perspektif majoriti rapuh sebagai sebuah pakatan yang membentuk kerajaan. Di peringkat awal kepimpinan, Muhyiddin berjaya menenangkan keadaan menerusi pembahagian Kabinet kepada semua parti dalam PN. Keputusan untuk memperbesarkan saiz Kabinet (jumlah menteri dan timbalan menteri daripada 54 ketika era PH kepada 69 di bawah PN) serta memansuhkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dilihat tindakan yang bijak bagi mengelakkan pertelingkahan dalaman.

Cuma apabila beliau melantik empat menteri kanan sebagai pemangku Perdana Menteri atas sebab-sebab tertentu dengan meletakkan semacam hierarki susunan kekananan yang meletakkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai orang kedua selepas Perdana Menteri dalam susunan itu mungkin dilihat sedikit bermasalah.

MasalahDi peringkat awal, perkara ini masih belum menjadi masalah, walaupun ada cakap-cakap belakang yang masih mempersoalkan perkara itu dan pecahan komposisi Kabinet yang tidak seimbang mengikut parti. Itu belum lagi dijengah menerusi perspektif intra-parti terutamanya UMNO sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam PN.

Ketika ini, hanya enam pimpinan tertinggi UMNO yang dilantik ke dalam Kabinet daripada 16 keseluruhannya. Dan dua yang teratas, Presiden dan Timbalannya tiada dalam senarai. Apakah reaksi mereka tentang perkara ini? Bagaimana pula reaksi ahli UMNO terhadap hal ini? Sudah tentu ini akan menjadikan politik UMNO menarik untuk diperhatikan pada masa mendatang kelak.

Berbanding Pas, dua pemimpin tertinggi mereka (Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung) daripada lapan wakil parti itu yang menganggotai Kabinet kelihatan lebih baik ketika ini berbanding UMNO. Dengan penggabungan tiga parti Melayu terbesar dalam satu pakatan sudah tentu akan menjadi lebih bermasalah ketika PRU15 tiba kelak.

Isu pembahagian kerusi dan pemilikan negeri ketika pilihan raya mungkin menjadi permasalahan besar di antara UMNO-Pas-Bersatu. Dalam masa yang sama, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangka tiba tahun hadapan, koordinasi antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti lain dalam PN turut menuntut penyelesaian yang tuntas dan segera.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus