iCEPS terus lahirkan graduan berkualiti, berdaya saing

SHAH ALAM – Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus melahirkan graduan berkualiti yang bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi yang mewakili Naib Canselor UiTM berkata, graduan iCEPS membuktikan usaha dan disiplin mampu menjadi faktor kejayaan mereka.
Menurut beliau yang juga menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM, majlis tersebut bukan sekadar penghargaan terhadap pencapaian akademik, tetapi melambangkan kejayaan penuntut dalam menyeimbangkan kerjaya, keluarga dan pengajian.
“Graduan iCEPS membuktikan usaha dan disiplin membuka jalan kepada kejayaan sebenar,” katanya ketika Majlis Anugerah Graduasi iCEPS Sesi 2024 di Magica Crystal Hall di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua Eksekutif iCEPS, Profesor Dr Faizah Abd Majid turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian graduan, khususnya kepada 50 penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) bagi sesi kali ini yang merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah iCEPS.
Menurutnya, seramai 1,454 graduan akan diraikan dalam Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
