Pemimpin Hizbullah enggan tunduk ancaman Israel

BEIRUT - Pemimpin Hizbullah, Naim Qassem pada Ahad menegaskan bahawa kumpulannya tidak akan menyerah diri atau meletakkan senjata meskipun terus menerima tekanan dan ancaman daripada Israel.
“Ancaman ini tidak akan memaksa kami tunduk,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung sempena sambutan Asyura di hadapan ribuan penyokong di kawasan selatan Beirut, yang menjadi kubu kuat kumpulan itu.
Pemimpin Lebanon yang mengambil alih pentadbiran selepas perang antara Israel dan Hizbullah tahun lalu, berulang kali menyuarakan komitmen untuk menegakkan monopoli negara dalam pemilikan senjata, sambil menuntut Israel mematuhi gencatan senjata yang dimeterai pada November.
Qassem yang menggantikan Hassan Nasrallah yang terbunuh dalam serangan Israel pada September, menegaskan bahawa pejuang Hizbullah tidak akan menyerahkan senjata selagi "pencerobohan Israel" berterusan.
Ucapannya dibuat menjelang lawatan utusan Amerika Syarikat, Tom Barrack ke Beirut pada Isnin.
Menurut seorang pegawai Lebanon yang enggan dikenali, pihak berkuasa negara itu dijangka memberi maklum balas terhadap permintaan Barrack supaya Hizbullah, yang disokong Iran, melucutkan senjata menjelang akhir tahun ini.
Pihak berkuasa Lebanon memaklumkan mereka sedang membongkar infrastruktur ketenteraan Hizbullah di kawasan selatan, berhampiran sempadan Israel.
Israel pula meneruskan serangan ke atas Lebanon sejak gencatan senjata, dengan mendakwa serangan itu menyasarkan kedudukan Hizbullah dan menuduh Beirut gagal bertindak mencukupi untuk melucutkan senjata kumpulan berkenaan.
Mengikut perjanjian gencatan senjata, Hizbullah dikehendaki mengundurkan pejuangnya ke utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel.
Israel pula sepatutnya berundur sepenuhnya dari wilayah Lebanon, namun masih mengekalkan kehadiran tenteranya di lima lokasi yang dianggap strategik.
“Hanya selepas itu barulah kami bersedia untuk memasuki fasa kedua, iaitu membincangkan strategi keselamatan dan pertahanan negara,” katanya.
Terdahulu, ribuan penyokong yang berpakaian hitam sempena Asyura berarak di selatan Beirut sambil mengibarkan bendera Hizbullah serta bendera Lebanon, Palestin dan Iran.
Sebahagian mereka turut membawa poster bekas pemimpin, Hassan Nasrallah yang terbunuh.
Qassem turut menegaskan bahawa pergerakan itu tidak akan menerima sebarang usaha normalisasi hubungan dengan Israel, selepas Menteri Luar Israel menyatakan hasrat untuk menjalin hubungan dengan Beirut.
Lebanon, yang secara teknikal masih berperang dengan Israel, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
