Kestabilan politik, sokongan berterusan penting majukan Sabah - Hajiji

KOTA MARUDU – Kestabilan politik dan sokongan berterusan daripada rakyat amat penting bagi memastikan segala agenda kerajaan untuk memajukan Sabah dapat diteruskan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, segala perancangan tersebut adalah demi kemajuan negeri dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat di Sabah.
“Banyak usaha telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri Sabah.
“Kita ada pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang jelas, yang memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh dan pembelaan nasib rakyat.
“Oleh itu, kestabilan politik dan sokongan berterusan daripada rakyat amat penting bagi memastikan segala dasar, program dan inisiatif yang dirancang kerajaan dapat diteruskan tanpa gangguan demi kemajuan negeri dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Kebudayaan Rungus Sabah 2025 di Pusat Kebudayaan Rungus Sabah, Jalan Teringai, di sini pada Ahad.
Sehubungan itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan negeri pimpinannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Jangan kita undur ke belakang. Teruslah bersama kerajaan GRS yang telah membuktikan komitmen dan kemampuan membela rakyat serta membangunkan negeri secara inklusif,” katanya.
Pada majlis itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan untuk menaik taraf daerah kecil Matunggong kepada daerah penuh.
“Penaiktarafan itu tertakluk kepada kajian kelayakan yang dilaksanakan oleh pihak berwajib.
“Kerajaan sentiasa mendengar aspirasi rakyat Matunggong dan akan meneliti aspek keperluan serta kesediaan infrastruktur sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” katanya.
Bercakap mengenai majlis tersebut, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri komited melestarikan khazanah budaya etnik di Sabah yang kaya dengan warisan seni dan adat resam yang unik serta bernilai tinggi.
Katanya, usaha memulihara budaya pelbagai etnik penting untuk memastikan identiti negeri terus dipertahankan dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
“Kerajaan negeri akan terus menyokong dan membantu pertubuhan etnik dalam usaha menjaga hal ehwal adat istiadat, seni dan budaya masing-masing.
“Budaya bukan sekadar khazanah sejarah, tetapi juga aset pembangunan yang perlu dipertahankan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
