Festival permotoran jadi pemangkin baharu pelancongan – MOTAC

MELAKA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melihat semangat kreativiti golongan muda dalam penganjuran festival permotoran mampu merancakkan sektor pelancongan negara.
Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, penganjuran acara luar biasa seperti itu boleh menjadi pemangkin baharu kepada industri pelancongan menjelang Kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Menurutnya, inisiatif ini turut menyokong usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan Melaka sebagai hab pelancongan serantau selain menggalakkan gaya hidup sihat.
“Ini termasuk acara yang memperlihatkan gabungan budaya, gaya hidup, kreativiti serta semangat anak muda Malaysia terhadap dunia automotif seperti penganjuran Japan Domestic Market (JDM) Real Fest 2025.
“Dengan kerjasama pelbagai pihak, JDM Real Fest boleh terus berkembang dan tidak mustahil menjadi acara tahunan bertaraf antarabangsa,” katanya selepas merasmikan Festival Permotoran JDM Real Fest 2025 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah MOTAC Melaka, Mohamad Bukhari Che Man.
Sementara itu, Pengarah Festival, Norazila Zakaria berkata, penganjuran acara permotoran buat julung kali di Melaka itu mendapat sambutan luar biasa terutamanya daripada golongan muda dan pelancong.
Menurutnya, sebelum ini beliau sering menganjurkan acara berunsurkan tradisional seperti festival makanan dan kebudayaan, namun kali ini memilih untuk menampilkan kelainan melalui acara permotoran.
“Hasrat kami adalah untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menganjurkan acara sebegini pada skala yang lebih besar pada tahun akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

