‘Air Love Cuti-Cuti: Jom Healing’ bersama Spritzer pacu pelancongan, gaya hidup sihat

SHAH ALAM - Jenama air mineral semula jadi yang paling dipercayai di Malaysia, Spritzer melancarkan kempen berskala nasional bertemakan ‘Air Love Cuti-Cuti: Jom Healing’ menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, yang diadakan di Pasar Seni, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Spritzer dalam satu kenyataan berkata, kempen itu menggalakkan orang ramai untuk kembali mendekati alam semula jadi, meneroka keindahan budaya dan mencapai keseimbangan gaya hidup sihat melalui pelancongan domestik.
Menurutnya, inisiatif tersebut sejajar dengan landskap gaya hidup masa kini yang mementingkan keperluan untuk berehat daripada tekanan harian menerusi percutian singkat bagi memulihkan emosi, memberikan ketenangan jiwa dan semangat.
“Menyedari perkembangan ini, Spritzer memperkenalkan kempen ‘Jom Healing’ bagi mengajak rakyat Malaysia untuk kembali mendekati alam sambil mengekalkan kesihatan dan hidrasi dengan air mineral semula jadi Spritzer.
“Inisiatif ini bertujuan untuk mengeratkan jalinan emosi rakyat Malaysia dengan pelancongan domestik berasaskan alam semula jadi, di samping mengukuhkan imej Spritzer sebagai peneman terbaik ketika melancong.
“Spritzer turut memanfaatkan kandungan asal rancangan kembara, interaksi media sosial dan seni interaktif, pengalaman budaya serta tip pelancongan lestari untuk menggalakkan rakyat Malaysia berkongsi perjalanan healing mereka, sekali gus mempertingkatkan ikatan emosi terhadap jenama kami,” katanya baru-baru ini.
Mengulas lanjut, menurut Spritzer, kempen tersebut menyasarkan golongan tempatan berumur antara 20 hingga 40 tahun yang menghargai pengalaman hidup bermakna.
Dalam pada itu, selain pelancong domestik, Spritzer turut berhasrat menarik perhatian pelancong antarabangsa bagi merasai pengalaman budaya tempatan.
“Kempen ini menyasarkan mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun kerana golongan ini mencari pengembaraan berasaskan alam, festival budaya dan makanan tempatan sebagai kaedah untuk menenangkan jiwa.
“Spritzer juga berhasrat menarik perhatian pelancong bebas antarabangsa yang mengutamakan pelancongan lestari dan pengalaman budaya tempatan.
“Selaras dengan keperluan pelancongan masa kini, jenama ini memupuk imej yang lebih mesra dan dekat di hati menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
