KPT teliti dakwaan SST jejas mahasiswa

MERBOK – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan meneliti dakwaan bahawa golongan mahasiswa terjejas susulan pelaksanaan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, penelitian terhadap keluhan tersebut akan dilakukan memandangkan SST mula dikuatkuasakan pada 1 Julai lalu.
Menurutnya, pelaksanaan SST yang diumumkan kerajaan turut melibatkan sektor pendidikan tinggi, khususnya membabitkan pelajar antarabangsa.
“Kita akan perincikan apa yang dimaksudkan... tetapi seperti yang diumumkan oleh kerajaan, ia membabitkan pelajar antarabangsa yang datang belajar ke negara kita, dengan kenaikan tarif atau cukai pengajian mereka ke Malaysia.
“Di pihak kita, maklum balas berkaitan perkara ini telah dikumpulkan dan disampaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Merbok 2025 di Dewan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata bahawa pelaksanaan SST diperluaskan kepada sektor pendidikan swasta sebanyak enam peratus bagi pelajar antarabangsa dan kadar tersebut dianggap masih rendah berbanding negara Asia Tenggara lain.
Bagaimanapun, jelas beliau, pandangan berhubung perkara itu masih terbuka untuk sebarang perbincangan.
“Di peringkat lain pula, mungkin terdapat perkara yang berkaitan secara langsung contohnya bagi pelajar yang tinggal di rumah sewa.
“Di rumah sewa tertentu, kesan daripada kenaikan tarif elektrik mungkin memberi impak kepada mahasiswa. Saya telah minta semua Naib Canselor untuk menjalankan kajian mengenai kesan tersebut kepada para pelajar,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa perluasan SST turut didakwa memberi implikasi kewangan kepada mahasiswa.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Amar Aidid Mohd Zain berkata, perluasan SST terhadap perkhidmatan langganan digital, pembaikan alat elektronik, dobi dan pembelian dalam talian memberi kesan langsung terhadap peningkatan kos sara hidup pelajar.
Katanya, golongan mahasiswa secara realitinya tergolong dalam kelompok berpendapatan rendah dan bergantung sepenuhnya kepada pinjaman pendidikan serta sokongan kewangan keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

