Kedah sasar kutipan hasil RM518 juta tahun ini menerusi sistem e-Tanah - Sanusi

Muhammad Sanusi ketika berucap pada majlis pelancaran pembangunan sistem e-Tanah negeri Kedah pada Khamis.
Muhammad Sanusi ketika berucap pada majlis pelancaran pembangunan sistem e-Tanah negeri Kedah pada Khamis.
A
A
A

LANGKAWI - Pelaksanaan sistem e-Tanah di Kedah bakal melonjakkan kutipan hasil negeri selain meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, selaras dengan era Revolusi Industri 4.0.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pentadbiran tanah merupakan penyumbang utama kepada 67 peratus hasil negeri dengan kutipan sebanyak RM438.56 juta direkodkan pada tahun lepas.

Menurutnya, sehingga 31 Mei ini, kutipan hasil direkodkan sebanyak RM270.67 juta dan kerajaan negeri optimis menyasarkan kutipan bagi tahun ini mencecah RM518 juta.

“Dengan adanya sistem e-Tanah, ia akan bantu menjayakan sasaran ditetapkan selain memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Kedah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Kedah di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Dr Ching Thoo Kim.

Muhammad Sanusi berkata, sistem tersebut juga membolehkan semua sistem sedia ada seperti Sistem SPTBWeb, iHasil, ePelupusan, ePengambilan, eCharting dan lain-lain disepadukan dalam satu pangkalan data berpusat.

“Dengan pelaksanaan sistem e-Tanah ini, pentadbiran tanah menjadi lebih efisien, efektif serta menjimatkan masa dan kos kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

“Sistem tersebut juga mampu mengatasi kekangan serta isu sistem legasi yang sedang digunakan di Pentadbiran Tanah Negeri Kedah sebelum ini,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, Kedah merupakan negeri kelapan melaksanakan sistem e-Tanah selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak, Wilayah Persekutuan Labuan, Putrajaya, Selangor, Terengganu dan Melaka.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi (tengah) ketika melancarkan pembangunan sistem e-Tanah negeri Kedah di Langkawi, pada Khamis.
Muhammad Sanusi (tengah) ketika melancarkan pembangunan sistem e-Tanah negeri Kedah di Langkawi, pada Khamis.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan diwakili oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam kerana memilih Kedah sebagai negeri kelapan.

“Ia melibatkan kos pembangunan dan penyelenggaraan sebanyak RM122 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan secara inisiatif pembiayaan swasta (PFI) bagi tempoh 14 tahun,” katanya.

Menurutnya lagi, sistem e-Tanah merupakan aplikasi kerajaan elektronik yang akan memudahkan urusan pentadbiran secara digital sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kaedah konvensional.

“Pada 8 Disember tahun lepas, kerajaan negeri telah menandatangani Perjanjian Konsesi Pelaksanaan Sistem e-Tanah dan kini Syarikat Puncak Tegap Sdn. Bhd. sedang menjalankan siri bengkel dan perbincangan untuk mendapatkan input bagi pembangunan sistem tersebut.

“Saya berharap semua pihak dapat memberikan komitmen dan kerjasama erat menjayakan pelaksanaan sistem ini dengan mengemaskini prosedur kerja serta menyumbang pandangan baharu berdasarkan Kanun Tanah Negara dan kaedah tanah negeri bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya,” katanya.

Muhammad Sanusi berharap dengan komitmen diberikan, sistem e-Tanah akan dapat beroperasi sepenuhnya menjelang November tahun depan atau selewat-lewatnya April 2027.

“Marilah kita sama-sama berusaha dan bekerjasama menjayakan sistem e-Tanah bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Kedah dan pada masa sama meningkatkan hasil negeri.

“Semoga usaha ini dapat menjadi contoh kepada semua jabatan dan agensi kerajaan negeri selain berusaha menjadikan Kedah sebagai ‘negeri tempat orang miskin berteduh, tempat orang kaya menabur bakti’,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!