Negeri Sembilan sasar kutipan RM4.5 juta Tabung Apartmen Wakaf Gaza

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan kutipan RM4.5 juta untuk Tabung Apartmen Wakaf iaitu sebahagian daripada projek pembangunan Bandar Wakaf Malaysia-Gaza.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sejumlah RM1 juta akan disalurkan segera kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) untuk kerja awalan.

"Kita harap dapat kutip lebih daripada itu. Kita bukan sahaja mahu sediakan kemudahan apartmen wakaf yang dirancang tetapi yang penting sama-sama menyumbang dalam bandar baharu itu nanti.

"Terima kasih kepada SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) yang memberikan peluang dan ruang untuk memudahkan penjawat awam di Negeri Sembilan berwakaf.

"Mereka boleh salurkan wakaf ini secara potongan gaji RM50 ke RM 100 atau lebih setiap bulan selama mana yang dirancang," katanya pada peluncuran Tabung Apartmen Wakaf Negeri Sembilan di Masjid Negeri pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Datuk Sani Araby Abdul Halim Araby.

Beliau berkata, dengan kedatangan Ramadan yang kebanyakan masyarakat akan mengambil peluang bersedekah dan berinfak diharapkan dapat membantu mencapai sasaran kutipan itu.

Aminuddin (tengah) menyempurnakan peluncuran Tabung Apartmen Wakaf Negeri Sembilan di Masjid Negeri pada Jumaat.
Aminuddin (tengah) menyempurnakan peluncuran Tabung Apartmen Wakaf Negeri Sembilan di Masjid Negeri pada Jumaat.

"Rakyat Palestin pasti gembira jika berita ini sampai ke mereka kerana merupakan satu hadiah cukup istimewa di bulan Ramadan.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah Negeri Sembilan menjadi negeri pertama selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Malaysia bersama-sama membina semula Gaza," katanya.

Sementara itu, Sani Araby yang juga Pengasas Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza berkata, projek itu dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak melibatkan pembangunan 14 blok apartmen wakaf yang mewakili setiap negeri di Malaysia.

Selain itu katanya, projek ini akan membina kemudahan utama seperti masjid, sekolah,klinik kesihatan, taman rekreasi dan menara tangki air.

"Projek ini menjadi simbol utama solidariti Malaysia dalam usaha membantu rakyat Palestin dan ia dijangka menelan kos sekitar RM120 juta.

"Tanah wakaf seluas 87 ekar di Gaza telah dipersetujui pada Februari 2023 dan kini menerima sokongan daripada wakaf bernilai RM40 juta," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!