Bayi lelaki pramatang perlu dana RM65,000 untuk bedah jantung

BUKIT MERTAJAM - Bayi lelaki berusia dua bulan, Muhammad Hayder Aisar Muhammad Hayazi memerlukan sumbangan orang ramai sebanyak RM65,000 bagi menjalani pembedahan jantung dengan segera.
Bayi yang lahir pramatang dengan berat 1.53 kilogram pada usia kandungan 32 minggu itu disahkan menghidap penyakit jantung kongenital.
Ibunya, Noraisyah Shaharom, 37, berkata, bayi tersebut mengalami sindrom gangguan pernafasan selepas dilahirkan dan terpaksa menjalani rawatan selama dua minggu sehingga tidak lagi memerlukan bantuan alat oksigen.
Menurutnya, dua hari selepas itu, tahap oksigen dalam badannya tiba-tiba menurun semula dan kembali memerlukan sokongan oksigen.

"Doktor kemudianya mengesahkan anak saya mengalami kecacatan jantung kongenital iaitu penyempitan aorta dan perlu menjalani pembedahan segera.
"Sejak lahir, saya belum pernah memeluk atau menciumnya dan hanya boleh menyentuh tangan kecilnya di inkubator,"katanya ketika ditemui di sini, pada Jumaat.
Noraisyah berkata, pada 28 Mei lalu, Muhammad Hayder Aisar yang lahir pada 6 Mei telah menjalani prosedur angioplasti dengan penggunaan belon untuk mengembangkan saluran darahnya.
Bagaimanapun, katanya, selepas sebulan kemudian doktor mendapati saluran darahnya itu kembali sempit dan pembedahan terdahulu gagal.
"Selain masalah jantung, dia juga mempunyai sedikit pendarahan dalam otak selain jangkitan kuman pada paru-paru akibat terlalu lama bergantung alat bantuan pernafasan," katanya lagi.
Tambah Noraisyah, dia dan suami, Muhd Hayazi Hanapiah, 39, terpaksa merayu sumbangan orang ramai kerana hanya mampu menanggung RM10,000 daripada kos pembedahan hasil daripada simpanan mereka.
"Kami amat memerlukan RM65,000 lagi agar pembedahan jantungnya dapat dilaksanakan segera dan pembedahan telah dijadual pada pada 8 Julai ini," katanya.
Sementara itu, pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya berbesar hati membantu keluarga itu bagi memudahkan urusan mengumpul dana selepas mereka tampil ke pejabatnya di sini baru-baru ini.
Jelasnya, bapa bayi terbabit bekerja sebagai pesawah dengan pendapatan rendah, manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.
"Pasangan dari Jitra, Kedah itu turut membesarkan seorang lagi anak lelaki berusia empat tahun yang tentunya memerlukan perbelanjaan,"katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (Nombor akaun: 3201428817).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
