Bayi usia sebulan perlu RM115,000 bedah jantung

Mohd Waqiyuddin dan isteri menunjukkan keadaan anaknya ketika mendapatkan bantuan daripada One Hope Charity & Welfare bagi mengumpulkan dana untuk bayi mereka.
Mohd Waqiyuddin dan isteri menunjukkan keadaan anaknya ketika mendapatkan bantuan daripada One Hope Charity & Welfare bagi mengumpulkan dana untuk bayi mereka.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Bayi lelaki berusia sebulan, Ahmad Wafiyudeen Mohd Waqiyuddin memerlukan bantuan dana daripada orang ramai sebanyak RM115,000 bagi menjalani pembedahan jantung.

Usaha itu perlu dilaksanakan segera kerana bayi dari Sungai Bakap, Nibong Tebal itu menghidap penyakit jantung kongenital kompleks sejak lahir.

Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Ahmad Wafiyudeen yang lahir dengan berat 3.8kg pada 9 Februari lalu ketika ini sedang bergantung alat bantuan pernafasan di hospital.

Menurutnya, pemeriksaan doktor mendapati dia mengalami beberapa masalah jantung serius termasuklah, ‘transposition of the great arteries’ (TGA), ‘atrial septal defect’ (ASD), ‘ventricular septal defect’ (VSD), ‘patent ductus arteriosus’ (PDA) dan ‘abnormal coronary artery’.

"Dalam istilah mudah, dia mempunyai tiga lubang di jantung dan kecacatan struktur saluran darah jantung yang kompleks.

"Keadaan itu menyebabkan campuran oksigen dan darah tidak sempurna serta pengumpulan cecair dalam paru-paru,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Sui Hau berkata, Ahmad Wafiyudeen perlu menjalani pembedahan dengan segera biarpun doktor memberitahu terdapat risiko sebanyak 20 peratus.

Jelasnya, jika pembedahan tidak dibuat dalam tempoh terdekat, dia tidak akan dapat bertahan kerana berisiko mengalami kegagalan paru-paru dan organ dalaman.

"Justeru doktor telah mengarahkan pembedahan dilakukan segera kerana keadaan bayi kritikal.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun masalah lain timbul apabila ibu bapanya tidak mampu menampung kos pembedahan dan telah tampil ke pejabat badan amal itu di sini baru-baru ini bagi memohon bantuan," katanya lagi.

Beliau berkata, pihaknya amat berbesar hati membantu mengumpul dana RM115,000 daripada orang ramai agar pembedahan tidak ditangguhkan.

"Bapanya, Mohd Waqiyuddin bin Mohamad, 40, bekerja sebagai kilang operator dan ibunya, Aida Nagiha Abdul Halim, 39, seorang suri rumah.

"Pasangan itu juga mempunyai tiga lagi anak berusia 10, 8 dan 6 tahun,” ujarnya lagi.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian melalui akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3193433435) atau layari onehopecharity.org.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!