Bayi dua bulan perlukan RM110,000 pembedahan jantung

Mohammad Shahrin (kanan) dan isterinya, Nor Fazliana (dua dari kiri) menunjukkan foto anak mereka ketika hadir mendapatkan bantuan, baru-baru ini.
Mohammad Shahrin (kanan) dan isterinya, Nor Fazliana (dua dari kiri) menunjukkan foto anak mereka ketika hadir mendapatkan bantuan, baru-baru ini.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Bayi perempuan berusia dua bulan, Nur Khadijah Aryana Mohammad Shahrin memerlukan bantuan dana orang ramai sebanyak RM110,000 bagi menjalani pembedahan jantung dengan segera.

Nur Khadijah Aryana berasal dari Bukit Mertajam dikesan mengalami masalah kecacatan jantung sejak dilahirkan.

Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Nur Khadijah terpaksa bergantung bantuan oksigen sejak dilahirkan sehingga kini.

Menurutnya, pemeriksaan doktor mendapati, satu saluran darah utama pada jantung tidak terbentuk menyebabkan darah dan oksigen bercampur.

Nur Khadijah yang mengalami masalah jantung sejak dilahirkan.
Nur Khadijah yang mengalami masalah jantung sejak dilahirkan.

"Keadaan ini boleh menyebabkan paru-parunya dipenuhi cecair, meningkatkan risiko jangkitan bakteria selain mengalami kekurangan oksigen dan kebiruan setiap kali menangis.

"Kecacatan jantung serius ini menyebabkan Nur Khadijah tidak dapat bernafas sendiri.

"Jangkitan bakteria yang kerap memaksanya terus berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama hampir dua bulan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Sui Hau, doktor memaklumkan satu-satunya jalan untuk bayi yang lahir pada 4 Januari lalu dengan berat 2.97 kilogram terus hidup adalah melalui pembedahan segera.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pembedahan bertujuan menutup lubang pada jantung dan memasukkan implan Contegra Valved Conduit dijadualkan pada 28 Februari depan.

Beliau berkata, kos pembedahan mencecah RM110,000 menjadi beban kepada ibu bapanya yang kurang berkemampuan.

Tambahnya, badan amal itu berbesar hati membantu keluarga Nur Khadijah mengumpul dana supaya pembedahan tidak ditangguhkan.

Katanya, bapa bayi, Mohammad Shahrin Abd Aziz, 30, bekerja sebagai pembantu pengeluaran di sebuah kilang dan ibu, Nor Fazliana Mohd Ramli, 31, seorang pegawai khidmat pelanggan.

"Nur Khadijah merupakan cahaya mata sulung pasangan ini," katanya.

Orang ramai berhasrat menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun 3201428817 Public Bank Bhd atas nama One Hope Charity & Welfare atau layari onehopecharity.org.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!