Koridor Utiliti Sabah bakal jadi pemangkin utama pembangunan negeri - Hajiji

KOTA KINABALU - Pelancaran Koridor Utiliti Sabah (KUS) disifatkan sebagai satu lagi inisiatif strategik yang bakal menjadi pemangkin utama kepada pembangunan sistemik dan mapan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penubuhan KUS bukan sekadar pengenalan sebuah entiti baharu tetapi mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam mempercepatkan pembangunan, menyelaras utiliti, dan menarik pelaburan baharu ke negeri ini.
"KUS diberi mandat sebagai Agensi Sehenti bagi mempercepatkan urusan permit kerja utiliti dan membangunkan pangkalan data aset utiliti negeri secara menyeluruh," katanya pada Majlis Pelancaran KUS di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Datuk Dr Yusof Yacob.
Menurut Hajiji lagi, langkah itu selaras dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan menyeluruh dan penyampaian perkhidmatan yang efisien, telus serta berorientasikan masa hadapan.
Katanya, penggunaan teknologi digital dan peta utiliti bersepadu melalui KUS mampu mempercepat kelulusan projek, mengurangkan pertindihan kerja, serta meningkatkan keselamatan kerja lapangan.
"Pendekatan ini memberi impak besar bukan sahaja kepada kelancaran pelaksanaan projek kerajaan dan swasta, tetapi juga menyokong agenda pendigitalan negeri, daya saing pelaburan dan pembangunan bandar pintar.
"Inilah contoh sinergi sektor awam-swasta yang mampu melahirkan penyelesaian berimpak tinggi untuk rakyat," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa penyelarasan proses utiliti akan membuka lebih banyak kawasan baharu untuk pembangunan, sekali gus merangsang kegiatan ekonomi dan menjana peluang pekerjaan, khususnya di kawasan luar bandar.
"Projek seperti ini akan memperkukuh logistik industri dan memperluas capaian bekalan asas seperti elektrik, air dan telekomunikasi kepada masyarakat luar bandar," katanya.
Hajiji dalam pada itu turut menyeru seluruh warga kerja KUS Sdn Bhd dan QSB agar meneruskan usaha dengan penuh profesionalisme dan komitmen tinggi demi memastikan kemudahan tersebut benar-benar membawa manfaat kepada rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
